Rakyat mungkin boleh rentas daerah mulai esok – Rahmad

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 3 Sept – Rakyat negeri ini berkemungkinan boleh melakukan perjalanan merentas daerah mulai esok susulan pengumuman Melaka beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), semalam.

Exco Kesihatan Datuk Rahmad Mariman berkata, lebih banyak kelonggaran bakal diberikan kepada rakyat di negeri ini, namun ia bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP) yang diperincikan Sidang Khas COVID-19 Negeri Melaka malam ini.

“Bila berlaku peralihan Fasa 1 ke 2 lebih banyak kelonggaran akan diberikan termasuk merentas daerah, waktu perniagaan dipanjangkan, banyak sektor akan dibuka dari segi perhotelan dan juga inap desa.

“Mungkin juga lain-lain sektor perniagaan yang terkesan dah lama tak buka seperti nurseri dan sebagainya akan operasi semula, apa pun ia bergantung kepada SOP yang diperincikan Sidang Khas COVID-19 Negeri Melaka pada malam ini.

“Sama-sama lah kita tunggu, kita harapkan banyak sektor dibuka tetapi pematuhan SOP yang ketat sangat diperlukan, kita tak boleh leka dan alpa walaupun masuk Fasa 2, kerana kita masih dalam pandemik COVID-19,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Cabutan Bertuah Bulanan Pertama Kempen Vax & Win di Lobi Seri Negeri di sini, hari ini.

Jelasnya, bagaimanapun segala kebenaran aktiviti itu hanya diberikan kepada individu yang telahpun melengkapkan dua dos vaksinasi sebagai syarat utama Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Alhamdulillah Negeri Melaka masuk fasa dua mulai esok, SOP akan diperincikan dan dikeluarkan pada mesyuarat malam ini, jadi kita sekarang ini sedang bergerak pula ke arah fasa 3 dan insya-Allah banyak sektor-sektor boleh dibuka terutamanya sektor pelancongan.

“Dalam fasa 2 ini juga kita telah merangka supaya banyak sektor pelancongan dibolehkan tetapi dalam pelancongan domestik di Melaka kerana sempadan negeri belum boleh dibuka.

“Kalau masuk fasa 3 dan seterusnya insya-Allah sempadan negeri akan dibuka, kalau lihat kepada perkembangan semasa kes COVID-19 pada hari ini pun menjurus kepada penurunan kes termasuk di unit rawatan rapi dan juga mereka yang ditempatkan di hospital,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

462
Kongsi :
Previous post Pintu Melaka dibuka hanya selepas penggiat pelancongan lengkap vaksin
Next post Individu belum terima vaksin boleh ‘walk in’ ke PPV – Rahmad
Ubah saiz-+=