Individu belum terima vaksin boleh ‘walk in’ ke PPV – Rahmad

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 3 Sept – Kerajaan negeri menawarkan kepada rakyat di negeri ini yang belum menerima suntikan vaksin untuk mendapatkannya secara ‘walk in’ atau hadir terus di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega Stadium Hang Jebat dan PPV Stadium Mini Jasin.

Exco Kesihatan Datuk Rahmad Mariman berkata, bermula hari ini mana-mana individu yang belum divaksin boleh hadir terus di dua PPV itu bagi mendapatkan vaksin COVID-19.

“Untuk seluruh rakyat Negeri Melaka mulai hari ini kita membuat tawaran kepada sesiapa yang belum divaksin supaya terus ‘walk in’ di dua PPV tersebut tidak mengira peringkat umur dan bangsa.

“Kita dah sampai peringkat penghujung vaksinasi, jadi hanya berapa ramai lagi yang tersenarai dalam MySejahtera, kita tidak mahu bazirkan vaksin dan masa petugas, setakat ini tiada had vaksin dan saya yakin kita mampu memberi suntikan vaksin kepada seluruh rakyat Melaka,” katanya selepas Cabutan Bertuah Bulanan Pertama Kempen Vax & Win di Lobi Seri Negeri, di sini hari ini.

Hadir sama Exco Pelancongan Negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Saari Basiron.

Terdahulu, Rahmad memilih 10 pemenang dalam cabutan bertuah itu yang diadakan sebagai galakkan kepada orang ramai untuk mengambil suntikan vaksin COVID-19.

“Kempen yang berlangsung selama lapan bulan ini sehingga Mac 2022 bakal menyaksikan pelbagai hadiah lumayan berupa dua unit kondominium, penginapan satu malam di Grand ION Delemen Hotel Genting Highlands, perkakasan rumah seperti ‘air fryer’, penyedut hampagas dan pemanggang steamboat elektrik.

“Pemenang hadiah utama akan diumumkan pada April 2022, NCT Alliance Berhad akan menghubungi pemenang bulanan secara langsung serta mengumumkan pemenang di laman media sosial mereka,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

494
Kongsi :
Previous post Rakyat mungkin boleh rentas daerah mulai esok – Rahmad
Next post 256 belia Melaka terlibat sukarelawan di PPV
Ubah saiz-+=