256 belia Melaka terlibat sukarelawan di PPV

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

PAYA RUMPUT 3 Sept – Seramai 256 belia Melaka menjadi sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteer (MyVac) bertugas di 16 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam seluruh negeri.

Exco Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Belia negeri, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, kesemua sukarelawan itu terlibat dalam perkhidmatan bukan kesihatan seperti urusan pendaftaran serta menyelaraskan kelancaran program vaksinasi di negeri ini.

Katanya, daripada 256 yang dilantik, 180 ditugaskan di daerah Melaka Tengah, 42 di daerah Alor Gajah dan 34 di daerah Jasin.

“Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka merupakan jabatan yang terlibat secara langsung dalam menyelaraskan sukarelawan MyVac yang mana sukarelawan ini digembeleng dalam perkhidmatan bukan kesihatan di PPV.

“Insya-Allah, kita akan berkomunikasi dengan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) sekiranya ada permintaan untuk menambah sukarelawan MyVac, kita sedia membantu dan menyelaraskan sukarelawan-sukarelawan yang ada.

“Ini bagi memastikan kelancaran Program Vaksinasi COVID-19 (PICK) di negeri ini dapat kita penuhi untuk membolehkan kita mencapai imuniti berkelompok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke PPV Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah JBS Negeri Melaka, Noorman Ramlan.

Dalam pada itu, Mohd Rafiq berkata, pembukaan dua PPV mega di Stadium Hang Jebat dan Stadium Jasin berupaya memberikan 8,000 dos suntikan sehari kepada rakyat negeri ini.

Katanya lagi, seramai 89 sukarelawan MyVac turut digerakkan bertugas di PPV Mega berkenaan bagi membantu melancarkan urusan pemberian vaksin kepada orang ramai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

587
Kongsi :
Previous post Individu belum terima vaksin boleh ‘walk in’ ke PPV – Rahmad
Next post RM165,000 bantu belia, pelajar IPT Melaka terkesan COVID-19
Ubah saiz-+=