PERPARITAN TIDAK SISTEMATIK PUNCA BANJIR 20 TAHUN
DUYONG 25 September – Sistem perparitan yang tidak sistematik dikesan sebagai punca utama sering berlaku banjir kilat di Kampung Pengkalan Rama Tengah, yang berlarutan sejak puluhan tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, pemasalahan itu berlaku susulan daripada pemilikan tanah yang dikesan masih di bawah penama generasi pertama menyebabkan kerja naik taraf perparitan sukar dijalankan.
Selain itu, katanya, kerja penyelenggaraan yang tidak menyeluruh juga menyebabkan longkang monsun di kawasan itu dipenuhi lumpur tebal.
“Di kawasan ini terdapat 40 buah rumah, kebanyakan penghuni adalah warga emas dan setiap kali hujan lebat berterusan air akan melimpah masuk ke kediaman mereka.
“Masalah ini dikatakan berterusan sejak 20 tahun lalu apabila berlaku pembangunan tidak dirancang, selain terdapat kawasan yang ‘dianak tirikan’.
“Ada longkang di kawasan ini tetapi longkang lama yang kecil dan tidak mampu menampung kuantiti air hujan yang banyak apabila hujan lebat berterusan,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri ditemui selepas meninjau kerja-kerja pembersihan longkang di Pengkalan Rama Tengah, di sini.
Menurut Mohd Noor Helmy, beberapa pendekatan sedang diteliti dalam menyelesaikan masalah tersebut meskipun bukan penyelesaian secara menyeluruh.
“Kita sedang mendapatkan nasihat secara kolektif daripada agensi yang berkaitan untuk melaksanakan penyelesaian paling tidak bagi jangka masa pendek ini yang boleh mengurangkan impak banjir kilat.
“Kesukaran mengesan pemilik tanah juga antara kekangan dihadapi kerana kerana selain dihuni oleh generasi kedua serta ketiga malah ada juga yang menyewa dan pemilik berada di luar negara, namun kita akan cuba yang terbaik agar isu ini dapat menemui jalan penyelesaian,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.