Persembahan kebudayaan buka tirai TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

BANDARAYA MELAKA 1 Januari – Persembahan kebudayaan akan menjadi segmen pembuka tirai Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pelbagai persembahan akan ditampilkan bermula 1 Januari pada jam 2 petang sehingga tengah malam bertempat di Pavilion TMM2024 di padang Dataran Pahlawan.

Menurut beliau, sepanjang bulan Januari pelbagai persembahan kebudayaan dan kesenian bakal ditampilkan bagi merancakkan lagi sambutan TMM2024.

“Untuk bulan pertama, kita akan menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan yang terdapat di dalam Negeri Melaka sebagai pembuka tirai sambutan.

“Selain itu, banyak lagi program menarik telah dirancang pada setiap bulan dalam usaha Kerajaan Negeri merancakkan lagi sektor pelancongan dan menggamit kehadiran 15 juta hingga 18 juta pelancong dan pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) & Ambang Tahun Baharu 2024 di Dataran Pengkalan Rama di sini, malam tadi.

Majlis itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Ab Rahman.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1020
Kongsi :
Previous post Melaka terima tambahan RM2 juta promosi TMM2024
Next post Melaka gamit memori indah Siti Nurhaliza
Ubah saiz-+=