Sorting by

×

Persembahan udara KUAM2023 pukau ribuan pengunjung

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

DURIAN TUNGGAL 2 Oktober – Pengunjung singgah ke Karnival Udara Antarabangsa Melaka 2023 (KUAM2023) berpuas hati dengan pelbagai persembahan dan aktiviti yang disediakan penganjur.

Antara yang menarik perhatian pengunjung adalah persembahan aerobatik ‘gamebird’, pertunjukan payung terjun dan aktiviti ‘joy flight’

Turut menjadi tumpuan adalah 41 buah pesawat pelbagai jenis milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Selain itu pengunjung juga berpeluang melihat dengan lebih dekat 27 pesawat ringan mewakili kelab penerbangan dan jentera paramotor sepanjang KUAM2023 berlangsung.

Pengunjung dari Johor, Mohd Syafiq Mohd Kamal, 34, dia berasa amat teruja untuk hadir ke KUAM2023 kerana mahu melihat pelbagai jenis pesawat kepak kaku dan kepak putar yang dipamerkan.

“Saya datang bersama isteri dan dua anak, sebenarnya kami sudah lama merancang untuk bercuti ke Melaka. Penganjuran KUAM2023 kena dengan tarikh kami rancang jadi saya tidak lepaskan peluang untuk datang ke sini.

“Selain menonton persembahan, anak-anak juga kelihatan amat gembira dengan menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan,” katanya.

photo1696162125
PENGUNJUNG dari Johor, Mohd Syafiq Mohd Kamal. Foto MR AZLI

Sementara itu See Hoo Yong, 42, pula singgah ke KUAM2023 buat kali kedua bersama beberapa orang ahli keluarga bagi berkongsi kemeriahan penganjuran karnival itu.

Katanya pada hari pembukaan KUAM2023 dia sekadar hadir seorang diri, namun merasakan suasana amat meriah dia mengajak ahli keluarganya untuk menghabiskan masa di karnival itu pada hari terakhir, semalam.

“Anak saya peminat kapal terbang, jadi ini adalah tempat yang amat sesuai untuk dia, kami tinggal di Durian Tunggal, jadi tidak jauh untuk datang ke sini,” katanya.

photo1696163185
HOO YONG

Manakala, menurut seorang lagi pengunjung, Mohamad Ruzi Abu Bakar, 56, berpendapat, penganjuran KUAM2023 sebagai satu langkah positif dalam merancakkan lagi pelancongan di Negeri Melaka.

Dia amat berharap agar penganjuran KUAM2024 nanti akan berlangsung dengan lebih meriah dan pihak penganjur menambahbaik aspek pengurusan agar karnival itu berjalan lebih lancar.

“Saya datang bersama anak dan cucu, kami terhibur melihat persembahan pesawat dan pertunjukan payung terjun. Cuma mungkin di peringkat penganjur boleh tambah baik aspek parkir kenderaan.

“Mungkin boleh buat hebahan mengenai bas pengantara yang disediakan lebih awal, jualan tiket pula boleh dilakukan menerusi dalam talian,” katanya.

photo1696163310
MOHAMAD RUZI

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1640
Kongsi :
Previous post Kelindan lori pukul, samun bekas kekasih diberkas
Next post RM25,000 rezeki ‘bidadari’ 14 hari
Ubah saiz-+=