Persiapan Hari Malaysia di tahap 99.9 peratus

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

BANDA HILIR 15 September – Persiapan dan persediaan sambutan Hari Malaysia yang akan disambut di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir malam ini sudah mencapai 99.9 peratus.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa yang menghadiri raptai penuh malam tadi berkata, semua persiapan dan persedian untuk hari bersejarah itu berada pada tahap terbaik.

Namun, beliau meminta beberapa kesilapan teknikal audio dibaiki untuk melancarkan persembahan pada hari kemuncaknya.

Tinjauan Melaka Hari Ini pada sesi akhir raptai penuh yang berlangsung malam tadi mendapati skrin-skrin besar berserta audio sudah lengkap dipasang di beberapa kawasan bagi memudahkan orang ramai yang hadir menyaksikan pelbagai persembahan dan acara menarik yang bakal ditampilkan.

Raptai penuh yang mengambil masa dua jam itu memperlihatkan kesemua barisan artis dan penari persembahan pada sambutan itu tampil dengan pakaian lengkap berwarna-warni.

Menerusi segmen persembahan pula, terdapat lebih enam segmen yang ditampilkan antaranya adalah pada segmen pertama iaitu Segmen Pahlawan Bangkit, Pahang Nasionalisme Tanah Air Kita.

IMG_20220916_003610_154
MELAKA 15 SEPTEMBER 2022. Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa (tengah) pada sesi akhir raptai penuh yang berlangsung di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir pada malam tadi. Foto: MR. AZLI

Persembahan kedua pula membabitkan segmen Malaysia Kita, Jejak Merdeka, Lambaian Bayu iaitu merujuk kepada Negeri Sabah.

Bagi segmen ketiga, Segmen Malaysia Kita menampilkan persembahan tarian Sarawak iaitu Sayap Kenyalang dan seterusnya Segmen Teguh Banjaran Titiwangsa.

Seterusnya, persembahan tarian dan nyanyian budaya setiap negeri oleh penari dan artis terkenal tanah air antaranya Datuk Jamal Abdillah, Datuk Nash dan Ernie Zakri.

Sambutan Hari Malaysia kali ini dianggap unik kerana buat julung kali diadakan di Semenanjung Malaysia.

Kerajaan Negeri menjangkakan lebih 20,000 pengunjung akan hadir dengan berpakaian bertemakan era 1960-an sebagai simbolik penyatuan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang berlaku pada 1963.

Majlis sambutan malam ini akan bermula pada jam 8 malam dengan dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam; Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Ketua Menteri Sabah; Premier Sarawak dan lain-lain kenamaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1557
Kongsi :
Previous post Badi kalah Melaka United berakhir
Next post Kekalkan keharmonian untuk generasi akan datang – KM
Ubah saiz-+=