PERTANDINGAN PIDATO TIUP SEMANGAT PERPADUAN, NASIONALISME

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 12 September – Pertandingan Pidato Rukun Negara dianjurkan Kerajaan Melaka, berpotensi untuk diperluaskan ke negeri lain kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara K Saraswathy.

Katanya, apa yang dilaksanakan Melaka adalah contoh yang boleh dijadikan panduan oleh negeri lain dalam usaha memperkukuhkan lagi semangat perpaduan di negara ini.

Saraswathy berkata, pertandingan seumpama itu mampu meniup semangat perpaduan dan nasionalisme dalam kalangan masyarakat berbilang kaum terutama kepada generasi muda.

“Pertandingan ini adalah pentas buat generasi muda khususnya murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah menghayati serta benar-benar memahami apa itu Rukun Negara.

“Peserta berpeluang memahami latar belakang Rukun Negara digubal sebagai ideologi negara dan menyedarkan mereka mengenai pentingnya cara hidup berprinsipkan kepada Rukun Negara.

“Ini adalah satu inisiatif baik yang perlu diberikan tumpuan. Bagi Negeri Melaka penganjuran ini sudah memasuki tahun kelima, kami di kementerian akan melihat bagaimana pertandingan ini boleh diperluaskan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Pertandingan Akhir Pidato Rukun Negara Sebagai Prinsip Perpaduan Demi Kejayaan dan Kestabilan Rakyat Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tahun 2024 diadakan di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Perasman pertandingan itu telah disempurnakan Yang di-Pertua negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem.

Enam kategori disertai wakil seluruh negara dipertandingkan dengan membabitkan finalis Kategori Sekolah Rendah (Bergandingan), Menengah (Bergandingan), Institusi Pengajian Tinggi, Awam, Bukan Melayu dan Pendidikan Khas.

Mengulas lanjut, Saraswathy berkata, selain memperkasa kesedaran nasionalisme pihaknya percaya penganjuran terbabit akan menonjolkan bakat berpidato dalam kalangan generasi muda.

“Acara ini adalah bukti bahawa semangat cintakan negara masih subur dalam sanubari rakyat Malaysia, khususnya golongan muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

318
Kongsi :
Previous post ‘BEKERJA SEBAGAI SATU PASUKAN’
Next post MASIH RAMAI MINAT BERPIDATO
Ubah saiz-+=