Pertimbang keperluan ‘server’ baharu Sistem e-Tanah Melaka – KM

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat
AYER KEROH – Kerajaan Persekutuan diminta mempertimbangkan hasrat Kerajaan Negeri untuk mendapatkan kemudahan ‘server’ baharu, sekali gus menambah baik Sistem e-Tanah di Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusof berkata, ia berikutan sistem sedia ada ketika ini sudah mencapai tahap maksimum dan perlu diganti baharu bagi menjamin pengurusan pendapatan hasil cukai di Negeri Melaka tidak terganggu.
Ab Rauf berkata, kemampuan sistem sedia ada untuk bertahan amat terhad dan jika terganggu ia dikhuatir akan menjejaskan punca pendapatan Kerajaan Negeri.
“Keluruh pendapatan kita bergantung kepada sistem ini yang ada di Pejabat Tanah dan Daerah (PTD).
“Justeru itu, saya mohon Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari mengambil tindakan menyelesaikan isu ini, jika berlaku kegagalan akan menjadi bencana besar kepada Kerajaan Negeri.
“Ini kerana urusan cukai, pungutan hasil tanah, pengeluaran geran baharu tanah dan semua bersangkutan dengan hal tanah sangat bergantung kepada sistem ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Jun 2023 dan Program Hari Bertemu Rakyat (Open Day) Kerajaan Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.
Turut hadir Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan dan lain-lain barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1018
Kongsi :
Previous post Kerajaan Negeri sambut baik IKR, lihat semula kaedah pelaksanaan
Next post Pendaftaran ‘Volunteer’ Melaka dibuka, diberi sijil penghargaan
Ubah saiz-+=