Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti di Melaka perlu bantu majukan kemahiran OKU

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

LENDU 14 Jan – Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di Melaka disarankan mencontohi PPDK Seri Malindo, sini dalam usaha memajukan kemahiran untuk orang kurang upaya (OKU).

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Nordin berkata kerajaan negeri sentiasa menyediakan pelbagai kemudahan untuk meningkatkan kemahiran OKU sejajar konsep perkongsian nikmat kehidupan anggota masyarakat normal dengan golongan itu.

Katanya, mengikut peredaran zaman, OKU pada masa kini mampu menikmati pelbagai keistimewaan diberikan kerajaan bagi memastikan mereka tidak tersisih.

“OKU tidak tersisih dalam masyarakat kita, sebaliknya sentiasa dibantu untuk meningkatkan ekonomi mereka.

“PPDK Seri Malindo yang amat aktif akan dinaik taraf sebagai pusat ilmu kemahiran OKU di negeri ini dan saya harap ia menjadi contoh PPDK lain,” katanya ketika melawat kegiatan pelatih OKU di bengkel Koperasi Usaha Sama Pemulihan Dalam Komuniti milik PPDK Seri Malindo, di sini hari ini.

Dalam lawatan selama sejam itu, beliau mendengar taklimat disampaikan Pengerusi PPDK Seri Malindo, Hanafiah Othman, 62.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Burhanuddin Bachik.

Bengkel berkenaan melatih 20 OKU berusia lebih 18 tahun dalam kemahiran menjahit beg kain berasaskan batik, kanvas, polyster dan songket serta menyulam dengan menggunakan mesin.

PPDK Seri Malindo turut berfungsi sebagai sekolah untuk pelatih OKU menimba pelbagai ilmu sebelum dimasukkan ke bengkel kemahiran di koperasi untuk berlatih membuat pelbagai kerja kemahiran.

Kalsom berkata, sejajar langkah menaik taraf bengkel berkenaan sebagai pusat kemahiran OKU negeri, peruntukan bagi meningkatkan jumlah mesin jahit akan disalurkan tidak lama lagi.

Sementara itu, Hanafiah berkata, setiap pelatih menerima gaji berdasarkan produk yang dihasilkan sebagai tambahan kepada elaun bulanan RM450 disediakan JKM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1505
Kongsi :
Previous post Pakar pelbagai bidang harus rangka program khas pasca bencana – Tuanku Mukhriz
Next post Kolej Komuniti Jasin ambil inisiatif pulihara ekosistem penyu karah
Ubah saiz-+=