Perubahan iklim, ekonomi dunia bakal hadapi kerugian – Pakar

Masa Membaca:59 Saat

GENEVA, 24 Ogos – “Perubahan iklim sedang berlaku, kita harus bertindak sekarang,” kata Ketua Ekonomi Swiss Reinsurance Company (SwissRe).

Dalam satu temu bual dengan Xinhua pada Isnin, Jerome Haegeli berkata keadaan itu boleh menjejaskan ekonomi dunia, terutama negara-negara miskin yang akan menanggung kesannya.

Katanya, ekonomi global mungkin akan kehilangan 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2048 jika suhu terus meningkat dengan negara-negara di bahagian selatan dunia akan lebih terjejas berbanding di utara.

Negara di Asia Tenggara seperti Malaysia dan Filipina “sangat terdedah” terhadap perubahan iklim, dan bakal kehilangan hingga 46 peratus daripada KDNK menjelang akhir abad ini jika suhu meningkat tiga darjah Celsius berbanding tahun 1800-an, kata Haegeli .

“Kita harus lakukan apa yang sepatutnya di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata negara-negara maju harus menyokong Dana Iklim Hijau US$100 bilion untuk membantu negara-negara sedang membangun menghadapi peningkatan suhu.

Panel mengenai perubahan iklim pada 9 Ogos lalu menyatakan dunia akan mencapai 1.5 darjah Celsius pemanasan menjelang 2040.

Haegeli berkata laporan SwissRe menyatakan “kita ketinggalan” dalam hal mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan “Perjanjian Paris masih jauh untuk dicapai.” – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

430
Kongsi :
Previous post PM bakar semangat atlet Paralimpik negara
Next post Nelayan teruja kibar semangat Jalur Gemilang
Ubah saiz-+=