Peruntukan hampir RM65 juta bantu peneroka, generasi baharu FELDA

Masa Membaca:3 Minit, 41 Saat

BERA, 14 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan peruntukan berjumlah hampir RM65 juta bagi pelaksanaan lima inisiatif untuk membantu peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan generasi baharu tanah rancangan itu dalam pelbagai aspek termasuk perumahan.

Inisiatif itu antara lain melibatkan dana berjumlah RM20 juta di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan sebagai cagaran kepada pinjaman perumahan yang bakal dibuat generasi baharu FELDA, membolehkan golongan itu tidak perlu menyediakan cagaran bagi membuat pinjaman, sekali gus memudahkan proses pembiayaan bagi pembinaan rumah di lot generasi.

Felda juga, menurut Ismail Sabri memperuntukkan dana pusingan RM10 juta bagi menyediakan lebih banyak peluang memulakan perniagaan dan meningkatkan kapasiti perniagaan kepada usahawan dalam kalangan generasi muda Felda, melibatkan pinjaman tanpa faedah antara RM5,000 hingga RM20,000 dengan permohonannya dibuka pada Ogos.

“Bagi memberi kemudahan kepada generasi baharu Felda untuk bermastautin di kawasan rancangan, Felda sebelum ini telah melaksanakan Projek Generasi Baharu Felda (PGBF). Saya ingin mengumumkan bahawa RM7.6 juta sewaan bulanan yang telah dibayar 2,025 penghuni PGBF serta sewaan yang akan dikutip selepas ini dijadikan deposit apabila mereka membeli kediaman PGBF.

“Ini bermakna, jika bayaran sewaan yang telah dibayar selama 36 bulan ialah RM10,800 maka pembiayaan satu unit rumah tengah yang berharga RM90,000 akan dikurangkan kepada RM79,200 sahaja,” katanya semasa berucap merasmikan Sambutan Hari Peneroka Felda 2022 di Felda Rentam di sini, hari ini.

Sambutan bertemakan ‘Kejayaan Dalam Keberkatan’ itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengerusi FELDA Tan Sri Idris Jusoh; Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Peneroka Felda Kebangsaan Sulong Jamil Mohamed Shariff.

Bagi membantu peneroka Felda tanaman getah, Ismail Sabri berkata Felda akan memperuntukkan RM6.1 juta dana pengurusan tahun 2022 bagi mengambil alih pengurusan pusat mengumpul getah (PMG) daripada FGV Rubber Industries Sdn Bhd, yang akan mengurangkan kos operasi kilang sebanyak 23 sen bagi setiap kilogram getah kering dengan tambahan sebanyak 5 sen apabila mencapai sasaran bulanan.

Langkah yang secara keseluruhannya melibatkan pengurangan sebanyak 28 sen akan memberi tambahan pendapatan RM11.2 juta kepada 10,707 peneroka tanaman getah, kata Perdana Menteri yang turut menekankan bahawa kerajaan dan Felda tidak pernah meminggirkan peneroka komoditi itu.

Sempena ulang tahun ke-66 penubuhan Felda tahun ini, Perdana Menteri juga mengumumkan peruntukan khas pembangunan RM66,000 kepada semua 317 rancangan menjadikan jumlah keseluruhannya RM21 juta yang boleh digunakan bagi kerja membaik pulih atau menaik taraf infrastruktur di tanah rancangan terlibat.

Selain itu, Ismail Sabri mengumumkan pertukaran program Premier Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Felda kepada Program Ulul Albab bermula tahun akademik 2023 yang bertujuan melahirkan generasi baharu Felda cemerlang dalam bidang profesional dan berpegang teguh kepada al-Quran dan sunah.
Dalam ucapannya, Ismail Sabri melahirkan rasa bangga dengan pencapaian Felda dan warga peneroka yang mencapai pelbagai kemajuan dalam bidang perladangan termasuk dalam pemerkasaan mekanisasi dan teknologi pengurusan ladang, sehingga produktivitinya dapat ditingkatkan kepada purata 20 tan sehektar setahun pada tahun ini.

“Saya berbesar hati ingin berkongsi bahawa peningkatan produktiviti ini telah membawa kepada penciptaan nilai atau value creation buat warga peneroka dengan jumlah melebihi RM1 bilion setahun. Peneroka juga dapat menerima tambahan pendapatan sehingga RM162 juta bagi setiap kenaikan 0.5 peratus kadar perahan minyak.

“FELDA juga berjaya mengurangkan kos operasi ladang dengan penjimatan RM200 juta kos pembelian baja apabila Smart Plantation Management Solution (SPMS) iaitu aplikasi pintar yang membolehkan pembelian baja dibuat berdasarkan dirian pokok berbanding keluasan kawasan, selain turut disokong dengan sumber alternatif dan bahan buangan seperti tandan buah kosong serta abu tandan,” katanya.

Ismail Sabri turut menyentuh komitmen utuh Felda mengatasi isu sekuriti makanan negara, antaranya menerusi Program Pembangunan Peneroka (PPP) bermula tahun 2019 dan kini melibatkan 8,542 projek ternakan dan pertanian yang dapat memberi pendapatan tambahan kepada 56,699 peneroka dengan purata RM250 hingga RM500 sebulan.

Pada majlis itu, Felda Jengka 25, Pahang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Rancangan Felda (AKRF) 2022 yang membolehkan peneroka di tanah rancangan itu menerima wang tunai RM1 juta manakala lima individu dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Generasi 2021 termasuk Timbalan Menteri Kewangan Datuk Mohd Shahar Abdullah yang berasal dari Felda Wilayah Kuantan.

Turut menerima anugerah itu ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Sarawak Profesor Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid dari Felda Wilayah Segamat dan Ketua Cawangan Komunikasi Penghakupayaan Orang Kurang Upaya (OKU) Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Penerangan Malaysia Dr Ruziah Ghazali dari Felda Wilayah Raja Alias.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1347
Kongsi :
Previous post Pastikan operasi penerbangan Batik Air ke Pulau Pinang, Pekanbaru lancar
Next post JKR Melaka ungguli Augerah Inovasi Perkhidmatan Awam
Ubah saiz-+=