Perzim terima keputusan Melaka tidak buka sempadan

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDA HILIR 24 Sept. – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) akur keputusan kerajaan negeri yang tidak akan membuka pintu sempadan negeri untuk pelancong bermula bulan depan.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, pendirian itu yang dimaklumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dianggap berasas, ekoran kebimbangan wujudnya kluster baharu ekoran kedatangan pelancong nanti.

Menurutnya, walaupun pintu sempadan negeri belum dibuka, pihaknya telah melakukan persiapan sepenuhnya untuk menerima kunjungan pelancong sama ada dalam negeri mahupun luar Melaka.

“Kita akur dengan keputusan kerajaan negeri itu dan menunggu arahan selanjutnya nanti, sekiranya diminta muzium buka dalam masa terdekat ini kita masih bergantung dengan arahan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan kita makanan dalam program Sinergi CSR Infaq Rezeki Jelajah Prihatin Selatan 2021 kepada 100 pengayuh beca di pekarangan Muzium Kesultanan Melayu Melaka, di sini.

Program dianjurkaan Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Melaka hanya akan membenarkan aktiviti rentas negeri dengan syarat mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang telah dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selain itu kata Akramuddin, pihaknya sudah membuat persediaan menyeluruh bagi menerima pelancong antaranya melengkapkan dua dos vaksin terhadap semua petugas dan menempatkan sanitasi air di semua muzium PERZIM.

“Apabila sudah boleh terima kunjungan pelancong nanti, muzium akan dibuka secara berperingkat dan kita masih bergantung kepada arahan kerajaan negeri berhubung soal itu nanti,” katanya.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nancy Shukri kerana meletakkan Melaka antara tiga destinasi baharu gelembung pelancongan selain Genting Highland dan Pulau Tioman.

Akramuddin yang juga Presiden Persatuan Homestay negeri Melaka berkata, pihak industri inap desa negeri juga kini bersedia menerima kedatangan pelancong dan setakat ini, 45 peratus pengusahanya telah menerima tempahan bilik.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

592
Kongsi :
Previous post Vaksin remaja: Ikut arahan dan SOP yang ditetapkan – Khairy
Next post PM beri bayangan rentas negeri dalam beberapa minggu lagi
Ubah saiz-+=