Pesara cemas ular sawa 15kg berlingkar atas reban
ALOR GAJAH 25 Dis – Bunyi bising dari reban ayam membawa kepada penemuan seekor ular sawa yang membaham tiga ekor ayam penduduk di Batu 16 Pengkalan Songket Kampung Pengkalan di sini, petang kelmarin.
Bekas pensyarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Baharudin Ibrahim, 67, berkata, dia kemudiannya memeriksa bunyi bising dari reban ayam kepunyaannya kira-kira pukul 4.30 petang.
Menurutnya, sewaktu memeriksa reban, dia dapati dua ekor ayam telah mati dan menemui ular sawa sepanjang lebih empat meter dan berat 15 kilogram sedang berlingkar atas bumbung reban.
“Saya lihat terdapat benjolan pada perut ular sawa tersebut dan percaya ular itu sudah menelan seekor ayam.
“Dalam keadaan cemas, saya sempat menghubungi talian kecemasan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).
Menurutnya, ular tersebut tidak bergerak dan hanya berlingkar atas bumbung reban setelah kemungkinan sudah kenyang selepas menelan seekor ayam.
Katanya, ular sawa tersebut mungkin sedang berehat sebelum mahu menelan dua ekor ayam yang sudah mati dalam reban tersebut.
“Mungkin kekeyangan, ular sawa itu tidak bergerak-gerak sekali gus memudahkan anggota APM menangkapnya,” kata Baharudin.
Dia percaya ular sawa berkenaan datang dari kawasan sawah yang terdapat pada bahagian belakang rumahnya selain kemungkinan mencari tempat kering ekoran banjir yang menimpa dari kampung berdekatan.
Sementara itu, jurucakap APM mengesahkan tangkapan ular sawa tersebut dan seramai empat anggotanya dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 4.42 petang.
Kata jurucakap itu, pihaknya hanya mengambil masa 10 minit bagi menangkap reptilia tersebut sebelum dibawa pulang ke pejabat bagi tindakan lanjut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.