Pesilat negara bermula langkah kanan

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 27 Julai – Kem negara memulakan hari pertama Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 dengan langkah meyakinkan selepas gelanggang dibuka di MITC, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Menjadi peserta pertama menjejakkan kaki ke dalam gelanggang, pesilat dari Keningau, Sabah, Luqman Laji menceriakan kem negara selepas menewaskan pesilat Brunei Muhd. Ali Saifullah Abdullah Md. Suhaimi.

Pemenang pingat gangsa Sukan SEA Hanoi pada Mei lalu mempamerkan ketenangan ketika melancarkan jurus-jurusnya sekali gus mengutip 9.940 mata untuk mara ke peringkat seterusnya.

Namun, peserta terbaik peringkat saringan hari ini menjadi milik jaguh Singapura Muhammad Iqbal Abdul Rahman yang mengumpul 9.950 mata, menewaskan Belouad Ayoub dari Algeria yang mengumpul 9.865 mata.

Sementara dalam kategori kreatif solo, wakil negara, Shukrillah Badrillah menafikan saingan Tran Duc Danh dari Vietnam selepas mengutip 9.895 mata untuk mengesahkan tempat di separuh akhir.

Pesilat dari Vietnam, Vuong Thi Binh pula mengutip 9.930 mata untuk menyingkirkan cabaran Thitirat Sae-Oung dari Thailand yang meraih 9.915 mata dalam kategori Puteri.

Sesi bagi silat seni terus dikuasai Indonesia apabila Kadek Nyeneng dan Putu Anom dari mara dalam acara ganda Putra setelah mengutip 9.940 mata untuk mengalahkan Abhishek Kumar Ghautam dan Suraj Sharma dari India yang mengumpul 9.265 mata.

Hampir 40 negara bersaing dalam kejuaraan yang akan berakhir Ahad ini termasuk beberapa negara peserta baharu seperti Amerika Syarikat, Algeria dan Jerman.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1686
Kongsi :
Previous post Pasangan suami isteri didenda RM20,000 dera anak angkat
Next post Kerosakan peralatan PMU di Yong Peng punca gangguan elektrik -TNB
Ubah saiz-+=