Piala FA: Impian Melaka United cipta sejarah ke separuh akhir berkecai

Masa Membaca:2 Minit, 22 Saat

LANGKAH Melaka United dalam saingan Piala FA terhenti di suku akhir selepas tewas tipis 1-2 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi di Stadium Hang Jebat malam tadi.

Skuad Hang Tuah yang sebelum ini berjaya mengikat juara lapan kali Liga Super itu di venue sama beberapa minggu lalu turun dengan misi mencipta kejutan untuk mara ke pentas separuh akhir.

Namun anak buah Mohd Asri Ninggal dikejutkan dengan gol awal JDT pada minit ke-4 hasil jaringan Hazwan Bakri yang berjaya menanduk masuk bola hantaran Leandro Velazquez.

Selepas itu, JDT selalu pasukan pelawat terus menguasai permainan dengan corak permainan pantas dan beberapa kali berjaya mengucar-kacirkan kubu Melaka.

Sesekali, Melaka berjaya membuat beberapa serangan balas termasuk pada minit ke-16 dan 25 menerusi gandingan Adriano, Ifedayo Olusegun dan Sony Norde.

Malangnya, keampuhan kubu pertahanan JDT menggagalkan usaha itu dan tiada lagi gol terhasil sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung di babak kedua, Melaka melakukan pertukaran pertama dengan membawa masuk Wan Zaharulnizam Wan Zakaria menggantikan Adriano yang sudah dilayangkan kad kuning pada separuh masa pertama.

Kemasukan Wan Zaharulnizam atau Kecik berjaya memberikan impak segera kepada pasukan apabila berjaya melakukan percubaan tepat ke arah gol JDT pada minit ke-53, selain membantu merencana gerakan balas pada minit ke-55.

JDT kemudiannya hampir menambah gol kedua pada minit ke-56 apabila gerakan Ariff Aiman berjaya menemui Hazwan Bakri yang tidak dikawal di hadapan gol, namun, tampanan lemahnya sekadar singgah ke dakapan penjaga gol.

Perlawanan yang dihadiri 18,289 penonton itu terus rancak apabila giliran Melaka pula memperoleh peluang keemasan menyamakan kedudukan pada minit ke-59.

Namun hantaran Sony Norde mencari Emmanuel Oti berjaya dihidu Farizal yang cepat mengeluarkan bola dari zon bahaya.

Meskipun perlawanan lebih dikuasai JDT, namun pujian harus diberikan kepada Melaka yang berjaya memberikan saingan lebih sengit di separuh masa kedua.

MELAKA – 23 JULAI 2022, Pemain Melaka United FC, Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi (tengah) bersaing dengan dua pemain JDT, Shane Thomas Lowry (kiri) dan Mohd Farizal Marlias (kanan) dalam aksi Piala FA Malaysia di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam ini. Foto: MR. AZLI

Usaha tanpa henti tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila Melaka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-83 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Norde selepas dijatuhkan pemain JDT.

Empat minit selepas itu, Norde hampir menggandakan jaringan buat Melaka menerusi serangan balas, namun percubaan satu lawan satunya berjaya dikekang Farizal.

JDT yang tersentak kembali memperkemas permainan dan menggandakan asakan bagi memburu gol kemenangan.

Tatkala perlawanan dilihat berakhir seri dan diheret ke masa tambahan, Bergson da Silva muncul wira JDT apabila berjaya menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan.

Gol itu cukup untuk membantu skuad Harimau Selatan mara ke separuh akhir Piala FA dan dijadual menentang Penang FC dalam aksi empat terbaik itu nanti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1334
Kongsi :
Previous post Tunai janji atasi masalah banjir Taman Paya Rumput Indah
Next post Rangka dipercayai orang hilang 10 bulan lalu ditemukan
Ubah saiz-+=