PJ City ikat Penang, Selangor bangkit atasi MUFC

Masa Membaca:2 Minit, 21 Saat

PETALING JAYA 19 April. – Petaling Jaya (PJ) City FC berjaya mengikat pasukan ‘kuda hitam’ Liga Super 2021, Penang FC 1-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Pasukan tuan rumah yang dibarisi oleh 100 peratus pemain tempatan berada di depan apabila gerakan solo Mahali Jasuli berjaya mengelirukan penjaga gol Penang FC Tian Keat See sebelum membuat hantaran pendek yang disempurnakan V.Ruventhiran pada minit ke-39.

PEMAIN PJ City FC, Muhammad Syahmi Zamri dikawal pemain Penang FC, Muhammad Khairu Azrin Khazali ketika pertembungan kedua-dua pasukan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi yang berkesudahan seri, 1-1. Foto Twitter Team Malaysia.

Bagaimanapun, skuad Harimau Kumbang bimbingan Trucha Thomas berjaya menyamakan kedudukan tiga minit selepas babak kedua bermula menerusi tandukan penyerang import dari Brazil, Casagrande.

Kedudukan kekal hingga wisel penamat dibunyikan untuk kedua-dua pasukan berkongsi mata.

Ketinggalan dua kali tidak mematahkan semangat Selangor FC untuk memastikan mereka pulang dengan mata penuh mengatasi Kelab Bola Sepak Melaka United (MUFC) 3-2 di Stadium Hang Jebat.

Tuan rumah terlebih dahulu memperoleh jaringan apabila dihadiahkan sepakan penalti berikutan tindakan Jordan Ayimbila menjatuhkan S Kumaahran yang mudah disudahkan oleh Stefan Nikolic sebelum babak pertama tamat.

Olusegun Ifedayo menyamakan kedudukan buat skuad Gergasi Merah pada minit ke-51 sebelum skuad kendalian Zainal Abidin Hassan kembali di hadapan menerusi jaringan Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-58, namun Ifedayo sekali lagi menyamakan kedudukan pada minit ke-70 sebelum Muhammad Syahmi Safari meledak gol kemenangan Selangor FC pada minit ke-88.

AKSI Mohamad Faris Shah Mohd Rosli yang dikawal ketat pemain Selangor FC. Foto MUFC

Keputusan perlawanan malam tadi menyaksikan Penang FC kekal di kedudukan keempat dengan 16 mata, diikuti Selangor FC di tempat kelima (14), PJ City di tempat ketujuh (11) dan Melaka United di tempat ke-10 dengan tujuh mata.

Sementara itu, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, dua jaringan bekas penyerang kebangsaan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak membawa Negeri Sembilan FC melonjak ke tangga teratas Liga Premier selepas menang tipis 2-1 ke atas Kelantan FC.

Turun dengan kelebihan beraksi di laman sendiri, skuad Hobin Jang Hobin bermula ganas menerusi jaringan Mohd Zaquan seawal minit keempat, sebelum skuad The Red Warriors membalas menerusi pemain import dari Sepanyol Mario Arques Blasco pada minit ke-54 dalam percubaan untuk pulang dengan sekurang-kurangnya satu mata.

Skuad kendalian K. Devan bagaimanapun mengesahkan tiga mata penuh menerusi jaringan Mohd Zaquan pada minit ke-69.

Negeri Sembilan berada di puncak dengan 17 mata selepas lapan perlawanan, mengatasi Sarawak United (16 mata) yang memiliki satu perlawanan di tangan.

Selangor FC 2 pula terikat 1-1 menentang Kuching City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1264
Kongsi :
Previous post Pengarah antara lima ditahan bersabit video iklan judi raya
Next post Polis tahan 4 lelaki disyaki terbabit kes samun, pukul
Ubah saiz-+=