PKP 2.0: Tiada pekerja sektor pelancongan diberhentikan

0
270
MUHAMMAD Jailani Khamis

AYER KEROH 22 Jan. – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 tidak menyebabkan mana-mana pekerja sektor pelancongan di negeri ini diberhentikan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, setakat ini tiada maklumat diterima mengenai penutupan operasi sektor pelancongan, mahupun individu hilang pekerjaan.

Bagaimanapun jelasnya, jika didapati ada di antara pekerja sektor pelancongan yang diberhentikan, pihaknya sedia membantu dengan menawarkan peluang pekerjaan baharu dalam sektor yang sama bergantung kepada kelayakan mereka.

“PKP 2.0 ini adalah sesuatu yang kita tidak jangka sebenarnya. Namun sehingga kini saya difahamkan kita belum berada pada tahap bahaya hingga menyebabkan ada yang hilang kerja.

“Kita yakin, situasi ini tidak akan berlarutan lama dan semua sektor yang ada masih mempunyai upaya untuk bertahan.

“Tapi jika ada yang kita dapati hilang sumber pendapatan dalam tempoh ini, kita akan memberi peluang pekerjaan baharu berikutan ada banyak projek-projek pelancongan baharu sedang kita usahakan kini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut Muhammad Jailani berkata, Melaka selaku negeri pelancongan boleh dianggap bernasib baik memandangkan kesemua agensi pelancongan mengamalkan dasar simpanan rizab sendiri, sekali gus membolehkan mereka terus bertahan dalam tempoh-tempoh sukar.

“Dasar kita memang meminta semua agensi pelancongan membuat satu rizab daripada hasil tahun-tahun terdahulu dan itu sangat membantu kita untuk bertahan sepanjang sektor pelancongan ditutup pada PKP dan PKP 2.0

“Pada masa sama, kita akan terus mencari pelaburan baharu melalui kerjasama syarikat swasta bagi membolehkan kita membangunkan produk pelancongan terkini yang mampu menarik kehadiran pelancong ke negeri ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas sama ada kalendar pelancongan Melaka 2021 terjejas susulan PKP 2.0, Muhammad Jailani percaya semua yang telah dirancangkan akan diteruskan mengikut jadual.

“Jika PKP ini tidak berlarutan lama, kita yakin tiada perubahan dalam kalendar pelancongan tahun ini. Namun, sekiranya PKP dilanjutkan lebih lama, kita akan merangka strategi baharu,” katanya lagi.