Peniaga rugi RM96,500 ditipu lelaki menyamar timbalan pendakwa raya

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 22 Jan – Seorang peniaga mendakwa kerugian RM96,500 akibat diperdaya seorang lelaki yang menyamar sebagai Timbalan Pendakwa Raya bagi membebaskan isterinya yang terbabit dalam kes dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, pihaknya menerima laporan mangsa berusia 40-an pada 17 Januari lalu.

Katanya, berdasarkan laporan, mangsa mendakwa dihubungi suspek pada Ogos lalu dan akibat terpedaya dengan dakwaannya dia membuat bayaran secara berperingkat dalam lapan transaksi berjumlah RM96,500 kepada suspek bagi menyelesaikan kes isterinya.

“Isteri mangsa dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Seremban.

“Namun, sehingga kini isterinya masih ditahan di Penjara Sungai Udang, di sini dan masih dalam tempoh perbicaraan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Susulan itu, katanya mangsa yang menyedari dirinya ditipu membuat laporan polis pada Rabu lalu kerana isterinya masih belum dibebaskan sebagaimana dijanjikan suspek.

“Hasil siasatan mendapati suspek yang bernama Effendi Abdul Rahim, 51, tidak bekerja sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Putrajaya manakala isterinya Nuraini Yusof, 38, bertindak sebagai pemilik akaun keldai,” katanya.

Jelasnya, berikutan itu polis menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua suspek bagi menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurul Mazatul Ayu Mazlan di talian 010-8200677 bagi membantu siasatan.

“Effendi, nombor kad pengenalan, 700919-10-5869 beralamat di 601 Apartment PKNS Kelumpuk Embun Emas, Blok B Jalan 15/56 Kuala Lumpur manakala Nuraini (830710-05-5472) beralamat di Jalan Bachik, Padang Temu.

Views:

758
Kongsi :
Previous post PKP 2.0: Tiada pekerja sektor pelancongan diberhentikan
Next post Tiga wanita cedera akibat bahan kimia tumpah
Ubah saiz-+=