PKP 3.0 : ADUN, EXCO boleh ziarah rakyat

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 15 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dibenar merentas daerah atau negeri termasuk untuk menziarah kematian rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Susulan itu, ia tidak sepatutnya menjadi pertikaian netizen termasuk tindakan Pengerusi Jawatankuasa Badan Bukan Kerajaan (NGO), Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen yang memuat turun lawatannya ke rumah keluarga mangsa yang maut ditikam bekas adik iparnya di Kampung Berangan Enam, Umbai, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, tiada laporan diterima bagi membolehkan pihaknya menyiasat tindakan Mohd Rafiq yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana tidak dibenarkan menziarah keluarga atas sebab kematian, sebaliknya dibenarkan keluarga terdekat sahaja.

Katanya, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu bagaimanapun dibenarkan atas alasan beliau adalah EXCO kerajaan negeri yang dibenarkan merentas daerah atas tujuan kerja rasmi.

“Bagaimanapun, saya akan siasat dahulu sama ada wujud perlanggaran SOP sekiranya beliau datang bersama jumlah individu lebih daripada dibenarkan,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini hari ini.

Kenyataan sama turut disuarakan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka, Mohd Nasrul Menhat yang memaklumkan ADUN dibenarkan melawat kawasan bagi menjalankan tugas rasmi.

“ADUN dibenarkan menjalankan tugas termasuk melawat kawasan, asalkan tidak mengadakan sebarang program,” katanya.

Semalam, Mohd Rafiq dalam media rasmi Facebook peribadi miliknya memuat turut hantaran dan gambar menyatakan beliau melawat kediaman keluarga Allahyarham Hanafiah Hanafi, 36 di kampung berkenaan semalam.

Hanafiah maut selepas ditikam bekas adik iparnya dipercayai akibat salah faham kerana kes perebutan anak dalam kejadian kira-kira jam 7.30 kelmarin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

640
Kongsi :
Previous post Melaka desak percepat wujud PKRC
Next post Malaysia akan suarakan pendirian menentang Israel pada OIC 
Ubah saiz-+=