PKP akan dinilai semula-PM Muhyiddin

Masa Membaca:57 Saat

KUALA LUMPUR 1 Mei. – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa akan dinilai semula khususnya di negeri-negeri yang sedang mengalami peningkatan kes positif COVID-19 secara mendadak.

Perdana Menteri berkata ia penting bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dan tindakan yang diambil berkesan dalam membendung penularan wabak berkenaan yang sedang meningkat di dalam dan luar negara.

Menurutnya kerajaan telah menggunakan sistem amaran awal iaitu Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) bagi mengenal pasti kawasan atau premis yang berisiko menyumbang kepada penularan COVID-19.

“Premis-premis ini akan diarah tutup jika dikesan telah dilawati sejumlah besar mereka yang positif COVID-19. Pendekatan ini selari dengan keputusan kerajaan mengawal dan membendung penularan jangkitan COVID-19 secara bersasar.

“Melalui sistem ini pemantauan dilakukan setiap hari bagi mengenal pasti lokasi tumpuan awam yang berisiko tinggi. Saya menyeru orang ramai sentiasa mematuhi SOP ditetapkan serta elak berada di tempat sempit dan sesak bagi melindungi diri, keluarga dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kes positif baharu wabak itu semalam melepasi angka 3,500 dengan 3,788 kes dilaporkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

400
Kongsi :
Previous post Nahas jalan raya meningkat 51 peratus, 15 kematian Mac lalu
Next post 5,000 juadah percuma habis tak sampai 15 minit
Ubah saiz-+=