PKPB: Ubah strategi demi kelangsungan perniagaan

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

KLEBANG 12 Nov. – Demi kelangsungan hidup, pengusaha dan peniaga di negeri ini terpaksa mengubah strategi perniagaan ke arah yang lebih kreatif susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.

Bagi seorang pengusaha tadika Noramizah Ahmad, 49, dia mengakui antara peniaga yang terkesan memandangkan premisnya kini tidak lagi boleh menerima kehadiran pelajar sehingga tahun depan ekoran sektor pendidikan ditutup sepenuhnya.

Bagaimanapun, demi memastikan Tadika Iman Mutiara yang diusahakannya selama lebih 12 tahun terus bertahan, dia terpaksa melakukan pelbagai strategi baharu.

Menurutnya, antara strategi yang dijalankan ialah dengan mewujudkan satu kaedah pembelajaran baharu iaitu dengan menyediakan kit pembelajaran (learning kit) kepada pelajar-pelajarnya.

Jelasnya, dengan cara itu, ia dapat menggantikan kaedah pembelajaran secara atas talian yang disifatkannya sebagai tidak relevan untuk pelajar-pelajar pra sekolah.

“Bila adanya kit pembelajaran ini, ibu bapa yang sudah membayar yuran tidak lagi risau mengenai kerugian yang ditanggung kerana kita pihak tadika menampilkan satu alternatif terkini untuk pembelajaran di rumah.

“Dalam kit tersebut kita telah memberi tunjuk ajar kepada ibu bapa, bagaimanapun untuk membantu anak-anak dalam pembelajaran, di samping kita juga akan sentiasa menghubungi mereka untuk mengetahui perkembangan anak-anak.

“Ini merupakan salah satu alternatif yang saya lihat dapat membantu kami untuk terus bertahan dalam situasi sukar sekarang. Jadi saya rasa adalah penting untuk kaedah ini dipraktikkan mana-mana tadika untuk meneruskan kelangsungan mereka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Tambah Noramizah, selain kit pembelajaran, pihaknya turut menggalakkan guru-guru tadika menjalankan perniagaan di tadika berkenaan sebagai sumber pendapatan sampingan.

“Antara yang kita jual ialah pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan selepas ini kita bercadang untuk menjadi ‘personal shopper’ bagi ibu bapa yang sibuk dengan kerja untuk membelikan barangan keperluan rumah mereka,” katanya.

PEMILIK Restoran Asam Pedas Nek Jarah Muhammad Zulfadli Amsyar

Sementara itu, bagi peniaga sebuah restoran di Ayer Keroh Muhammad Zulfadli Amsyar Zainal Abidin, 25, disebabkan kekurangan pelanggan di restoran sepanjang PKPB, pihaknya telah mengambil inisiatif untuk memperkasakan sistem penghantaran makanan ke rumah dan pejabat.

Ujarnya, pihaknya kini menjalankan promosi melalui medium media sosial bagi membolehkan orang ramai membuat pesanan dan seterusnya pihaknya akan membuat penghantaran.

“Kita terpaksa buat pelbagai strategi untuk bertahan. Dengan sewa bulanan kedai yang tinggi selain perlu membayar gaji kepada lima pekerja, semua itu perlu dilakukan.

“Jujur cakap selepas PKPB dikenakan di Lembah Klang sebelum ini kami sudah kehilangan 70 peratus pelanggan. Bila hampir seluruh negara dikenakan PKPB juga sekarang, mahu atau tidak kami perlu melakukan apa sahaja yang boleh untuk ‘survive’,” ujarnya.

Views:

553
Kongsi :
Previous post Kes COVID-19 dunia melebihi 52 juta
Next post Skate Clinic uji adrenalin
Ubah saiz-+=