PKPP: 312 ditahan termasuk 143 tidak amal penjarakan fizikal

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KUALA LUMPUR, 11 Sept. – Seramai 312 individu termasuk 143 gagal mengamalkan penjarakan fizikal ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata selain itu 70 individu dikesan melakukan kesalahan menerusi aktiviti di kelab malam atau pub, 37 individu gagal menyediakan peralatan dan catitan keluar masuk dan 31 disyaki menjalankan aktiviti pelacuran.

“Daripada jumlah itu, seramai 267 individu telah dikompaun manakala 38 individu direman dan tujuh lagi dijamin,”  katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengenai Operasi Benteng yang dijalankan semalam, katanya, seramai 86 pendatang tanpa izin, seorang penyeludup dan seorang tekong ditangkap.

Ismail Sabri beliau berkata daripada jumlah tersebut Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan tiga pendatang tanpa izin di Pantai Sungai Rengit, Johor kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

Bagi kuarantin wajib, seramai 26,999 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 70 hotel dan lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan sejak 24 Julai lalu.

“Daripada jumlah itu, seramai 10,226 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 69 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 16,704 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya.- BERNAMA

Views:

213
Kongsi :
Previous post UTeM disenarai THE World University Rankings 2021
Next post Cedera isteri, suami ke mahkamah
Ubah saiz-+=