Planetarium International School Melaka tawar suasana pembelajaran eksklusif, kondusif

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

KESIDANG 28 Julai – Planetarium International School Melaka (PISM) menawarkan suasana pembelajaran lebih eksklusif dan kondusif kepada kanak-kanak berusia seawal tiga tahun hingga peringkat remaja.

Ketua Pegawai Eksekutif PISM, Chua Siew May berkata, suasana pembelajaran di PISM mampu melahirkan murid dan pelajar berfikiran kreatif serta kritis.

Jelas Siew May, PISM memulakan operasi pada 16 September 2022 dan setakat ini mempunyai 150 murid termasuk dalam kalangan kanak-kanak berumur seawal tiga tahun.

“Pendidikan di PISM ditawarkan mengikut tiga kategori, iaitu pendidikan awal untuk anak-anak berusia tiga hingga lima tahun, pendidikan rendah (5 hingga 11 tahun) dan menengah bagi usia 11 hingga 16 tahun.

“Kami bukan sekadar menawarkan pendidikan berkualiti untuk melahirkan murid dan pelajar cemerlang dalam akademik, sebaliknya mahu melihat anak-anak di sini, menempuh pengalaman baharu dalam hidup mereka.

1
PISM yang terletak di Taman Pandan Indah menawarkan suasana pembelajaran eksklusif.

“Berikutan itu amat penting bagi kami di PISM untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang eksklusif dan kondusif,” katanya ketika ditemui pada program ‘Founder’s Day & Official Opening Ceremony Of Planetarium International School’ di sekolah berkenaan di Taman Pandan Indah, Lorong Pandan, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin, hadir sama Pengetua PISM, S Muruka Nathan dan barisan pengurusan PISM.

Menariknya, pada majlis perasmiannya, PISM turut menampilkan ‘kapsul masa’ di atas pentas sebagai simbolik penubuhan sekolah antarabangsa itu.

8
KAPSUL masa yang dilancarkan pada majlis berkenaan.

Kapsul masa itu merupakan cetusan idea bagi mengumpul rekod berkaitan sekolah, selain mesej yang ditulis pelajar mengenai masa depan mereka.

Mesej-mesej itu akan disimpan di dalam kapsul berkenaan dan dikunci sebelum dibuka semula dalam tempoh 10 tahun akan datang, iaitu pada 2033.

Siew May berkata, besar harapan beliau untuk melihat murid dan pelajar PISM terus maju ke hadapan selain mempunyai sikap yang positif, berkemahiran, berkeyakinan, peka serta lebih bertanggungjawab.

6
BUMBUNG terbuka PISM menyediakan tempat untuk pelajar beriadah.

“PISM percaya bahawa setiap kanak-kanak mempunyai potensi untuk belajar dan cemerlang, bukan sahaja daripada segi akademik tetapi segenap aspek kehidupan mereka.

“Sistem pengajaran dan pembelajaran diamalkan juga perlu sistematik, sekali gus memberi impak kepada anak-anak ini dalam meningkatkan pencapaian mereka sama ada daripada segi akademik atau bukan akademik.

“Saya percaya pendekatan pembelajaran yang holistik dengan kelengkapan yang ada di sekolah ini dapat membantu anak-anak ini memperoleh kecemerlangan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5970
Kongsi :
Previous post Dasar gaji progresif dibentang ke MTEN 7 Ogos
Next post Melaka terima tambahan RM5 juta giatkan promosi TMM2024
Ubah saiz-+=