Melaka terima tambahan RM5 juta giatkan promosi TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BANDA HILIR 29 Julai – Tambahan peruntukan RM5 juta disalurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) kepada Kerajaan Negeri Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, peruntukan tambahan itu disalurkan bagi merancakkan lagi promosi TMM2024.

Beliau berkata, pelbagai program akan dianjurkan sempena pra TMM2024 bagi menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negara ke negeri ini, sekali gus merealisasikan sasaran 15 hingga 18.7 juta pelancong tahun depan.

“Sebelum ini, dua negeri iaitu Melaka dan Pulau Pinang telah menerima peruntukan RM25 juta untuk membangunkan kawasan yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Dalam majlis itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) telah mengumumkan Melaka akan menerima peruntukan khas tambahan RM5 juta untuk bajet mempromosikan TMM2024.

“Alhamdulillah kerjasama dan bantuan daripada Kementerian begitu besar buat kita yang mana dengan peruntukan itu, kita dapat mempergiat kempen promosi menerusi pelbagai acara yang bakal kita anjurkan seperti Pertandingan Memancing Ikan Sungai, Festival Layang-Layang Gergasi dan pelbagai lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Festival Merakyatkan Seni Dan Budaya @ Jonker Walk di Tokong Cheng Hoon Teng, Jalan Harmoni, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Zaidi Attan; Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Motac, Datuk Mohd Zamri Mat Zain; Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Motac, Datuk Shaharuddin Abu Sohot, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris, serta tetamu lain.

Dalam pada itu, Abdul Razak memaklumkan menerusi peruntukan RM25 juta bagi pemuliharaan dan pemeliharaan bangunan bersejarah dalam kawasan diiktiraf Unesco, Kerajaan Negeri akan memanfaatkannya dengan menaik taraf beberapa kawasan di sekitar Tapak Warisan Dunia.

Katanya, antara yang diberi tumpuan utama ialah seperti Bangunan Mahkamah Lama, Bangunan Stadthuys dan Bukit Melaka.

“Malah, bajet yang disalurkan ini juga kita akan gunakan untuk meneruskan kajian kita terhadap terowong yang ada di sekitar Banda Hilir,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1024
Kongsi :
Previous post Planetarium International School Melaka tawar suasana pembelajaran eksklusif, kondusif
Next post Kebaya bakal diangkat warisan tidak ketara Unesco
Ubah saiz-+=