Kebaya bakal diangkat warisan tidak ketara Unesco

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

BANDA HILIR 29 Julai – Kebaya bakal diangkat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) untuk diiktiraf sebagai warisan tidak ketara di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Motac Datuk Mohd Zamri Mat Zain berkata, berkata, Malaysia merupakan antara lima negara yang akan mengangkat pakaian tradisional itu untuk dicalonkan kepada Unesco.

Selain Malaysia, ujar beliau, Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura turut bersama mencalonkan kebaya bagi kategori ‘Representative List Of Intangible Cultural Heritage of Humanity (ICH)’ bagi tahun 2023.

“Kita akan ketengahkan hasrat ini sabagai salah satu usaha memanifestasi warisan tidak ketara ke peringkat dunia.

“Kementerian (Motac) masih dalam peringkat untuk pastikan bahawa hasrat kita untuk meningkat dan menaikkan salah satu daripada aset warisan ketara serta tidak ketara ini untuk diketengah dan diiktiraf dunia.

“Setakat ini kita telah menyediakan perkara-perkara berkaitan pendokumentasian dan insya-Allah kita dalam peringkat untuk pastikan hasrat ini tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Festival Merakyatkan Seni Dan Budaya @ Jonker Walk di Tokong Cheng Hoon Teng, Jalan Harmoni, di sini, malam tadi.

IMG_20230729_032337_826
Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohd Zamri Mat Zain. Foto: MR. AZLI

Terdahulu program diadakan itu telah dirasmikan Exco Pelancongan Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan turut hadir Timbalan beliau, Datuk Zaidi Attan.

Hadir sama, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Motac, Datuk Shaharuddin Abu Sohot; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris, serta tetamu lain.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya kini berada pada landasan positif dalam usaha memartabatkan aktviti kesenian dan budaya di negara ini ke peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, usaha memastikan kelangsungan seni dan budaya, selain memperkasa pemuliharaan serta pemeliharaan khazanah negara menjadi agenda penting setiap agensi di bawah Motac.

Katanya lagi, program silang budaya merupakan antara tumpuan utama untuk memastikan kesinambungan warisan kepada generasi akan datang.

“Kali ini kita raikannya di Melaka dan kita akan panjangkan ke negeri-negeri lain…kita akan cuba sehabis baik untuk semua festival dianjurkan secara besar-besaran semata-mata untuk mengangkat warisan ini untuk jadi yang terbaik di mata dunia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1011
Kongsi :
Previous post Melaka terima tambahan RM5 juta giatkan promosi TMM2024
Next post JKKN perluas program semarak seni budaya
Ubah saiz-+=