JKKN perluas program semarak seni budaya

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BANDA HILIR 29 Julai – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan memperluaskan program menyemarak seni dan budaya demi memartabatkan warisan itu di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris berkata, mengambil contoh penganjuran di Festival Merakyatkan Seni dan Budaya di Melaka, pihaknya bakal menganjurkan program serupa di empat lagi negeri.

Menurutnya, identiti seni dan budaya yang melambangkan setiap negeri akan diperkenal dan diperluaskan menerusi penganjuran itu.

“Seperti program dianjurkan di Melaka, kita ada empat lagi program untuk dianjurkan membabitkan Kedah, Johor, Perak dan Negeri Sembilan. Ini adalah usaha kita untuk menyemarakkan seni dan budaya di negeri terlibat.

“Platform ini adalah yang paling terbaik dan pada masa sama kita akan pastikan kesenian dan kebudayaan negeri-negeri ini dapat dimartabat serta dipertonton kepada masyarakat setempat dan pelancong luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Festival Merakyatkan Seni Dan Budaya @ Jonker Walk di Tokong Cheng Hoon Teng, Jalan Harmoni, di sini, malam tadi.

IMG_20230729_033806_303
Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Perancangan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Mohd Amran Mohd Haris. Foto: MR. AZLI

Terdahulu program diadakan itu telah dirasmikan Exco Pelancongan Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan turut dihadiri Timbalannya Datuk Zaidi Attan.

Hadir sama, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Motac, Datuk Shaharuddin Abu Sohot serta tetamu lain.

IMG_20230729_034025_646
Suasana perarakan pada Majlis Perasmian Festival Merakyatkan Seni dan Budaya di Jalan Harmoni (Jalan Tukang Emas), Melaka. Foto: MR. AZLI

Pada festival itu, pelbagai acara telah diadakan antaranya persembahan silang budaya, tarian kebudayaan, persembahan artis popular tanah air dan lain-lain lagi.

Namun, tumpuan utama terarah kepada acara Kenduri Muhibah – Makan Malam Tok Panjang dengan kesemua tetamu yang hadir dijamu dengan lima juadah tradisional masyarakat Baba dan Nyonya Melaka.

Festival Merakyatkan Seni Dan Budaya @ Jonker Walk akan berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad dan bakal dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik bagi mengangkat warisan seni dan budaya di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1210
Kongsi :
Previous post Kebaya bakal diangkat warisan tidak ketara Unesco
Next post Melaka hidupkan tradisi ‘Makan Malam Tok Panjang’
Ubah saiz-+=