PM Anwar beri jaminan Kerajaan Perpaduan tidak pinggir masyarakat minoriti

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

PUTRAJAYA, 19 Jan – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinannya tidak akan meminggirkan masyarakat minoriti di negara ini termasuk mereka di Sabah dan Sarawak.

Sehubungan itu, Anwar telah meminta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof untuk mengetuai pasukan bagi menyelesaikan sebarang masalah yang sebelum ini mengguris perasaan rakyat di Sabah dan Sarawak.

“Kita harus juga sedar ada masyarakat minoriti di negara kita sama ada Cina dan India yang merasakan ada pendekatan untuk meminggirkan mereka atau merendahkan mereka.

“Saya ingin beri jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan mengizinkan dasar ini berlaku lebih-lebih lagi di Sabah dan Sarawak,” kata beliau ketika menyampaikan amanat ‘Membangun Malaysia Madani’ di sini hari.

Anwar berkata Fadillah telah diberi ruang sepenuhnya untuk menyelesaikan semua perkara tertunggak berkenaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memastikan nasib rakyat di Sabah dan Sarawak terbela.

Beliau berkata perjanjian itu telah dimeterai oleh pemimpin terdahulu maka ia menjadi tanggungjawab kerajaan kini untuk melaksanakan apa yang telah dijanjikan.

“Mana mungkin setelah 60 tahun, kita tak boleh beri dia hak untuk memutuskan dan melaksanakan projek RM10 juta dengan sendiri, maka sebab itu kita luluskan,” kata beliau dan menambah bahawa mesyuarat MA63 akan diadakan di Kuching, Sarawak esok dengan sebahagian besar perkara akan diselesaikan.

Anwar juga menegaskan bahawa kerajaan bertanggungjawab untuk tidak membiarkan mana-mana golongan atau kaum di negara ini dibelenggu kemiskinan serta terpinggir daripada arus pembangunan.

Usaha tersebut tidak sepatutnya bergantung kepada pemberian sumbangan semata-mata, sebaliknya kerajaan perlu menggunakan pendekatan yang mampu membebaskan mereka daripada kemiskinan, kata beliau.

“Tanggungjawab kita ialah berikhtiar sedaya upaya kita untuk menyelamatkan mereka, membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan.

“Saya gunakan istilah membebaskan kerana membebaskan itu tidak bermakna memberikan bantuan supaya mereka akan terus bergantung kepada sumbangan kerajaan yang disebut sindrom kebergantungan, selama-lamanya akan bergantung dan mereka tidak dibebaskan.

“Pendekatan kita harus membebaskan mereka daripada belenggu ini supaya mereka betul-betul hirup udara merdeka di Malaysia ini,” kata perdana menteri.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1440
Kongsi :
Previous post Empat mengaku tidak bersalah kemuka tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya
Next post MOTAC sasar RM120.4 billion pendapatan hasil daripada sektor pelancongan
Ubah saiz-+=