PM Ismail Sabri saksi pemeteraian sembilan memorandum perniagaan di Dubai

DUBAI, 31 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu menyaksikan majlis pemeteraian dan pertukaran sembilan memorandum di antara syarikat Malaysia dengan rakan perniagaan antarabangsa yang diadakan di sini.

Majlis pemeteraian dan pertukaran berkenaan melibatkan lima Memorandum Persefahaman (MoU), dua Memorandum Eksplorasi Perniagaan (MOBE), selain satu Memorandum Perjanjian (MoA) dan satu Surat Hasrat (LOI).

Perdana Menteri dalam ucapannya pada Majlis Apresiasi Ekspo 2020 Dubai berkata, beliau amat berbangga kerana Malaysia telah mengadakan libat urus dengan begitu ramai rakan kongsi yang bersedia untuk menyertai Malaysia dalam mewujudkan dunia yang lebih baik.

“Saya yakin hubungan yang dibangunkan di sini akan membawa kepada pelbagai potensi baharu dalam pemulihan global yang berterusan dan pertumbuhan yang mampan,” katanya.

MoU antara Masdar dan Ranhill Utilities Bhd adalah bagi cadangan penyahkarbonan industri elektrik di Malaysia, manakala MoU melibatkan Perbadanan PR1MA Malaysia dan Sany Construction Industry Development (M) Sdn Bhd adalah bertujuan menyediakan perumahan mampu milik yang cepat dan berkualiti kepada kumpulan M40 melalui penggunaan teknologi sistem binaan berindustri (IBS) Sany.

MoU melibatkan AK International LLC dan European Wellness Academie (Asia Pacific) Sdn Bhd bertujuan menubuhkan pusat kecemerlangan berasaskan halal yang pertama di dunia bagi perubatan dan pendidikan boleh jana semula biologi di Malaysia.

Turut dimeterai adalah MoU bagi menghasilkan pembuatan suplemen dan terapeutik biofarma halal yang pertama di dunia dan membangunkan rangkaian pelancongan kesejahteraan dipacu digital berkonsepkan halal yang pertama di dunia, di antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Malaysia.

MoU di antara Pharmaniaga Manufacturing Bhd (PMB) dengan Prime Medical Store LLC akan menjadi asas untuk mewujudkan rangka kerja yang akan memberikan hak eksklusif kepada Prime Medical untuk mendaftar, mengimport, mempromosi, memasarkan, menjual dan mengedar produk farmaseutikal PMB di UAE.

Turut ditandatangani adalah MoU melibatkan Hortman Clinics dan Covid Medicare on Support Incorporation untuk membeli dan memasarkan produk yang dinamakan Immuno X Booster.

Sementara itu, turut dimeterai adalah MOBE di antara UEM Edgenta Bhd dengan syarikat pemula niaga teknologi kewangan (fintech) berpangkalan di Dubai, Byte Blanket, selain UEM Edgenta dengan Disrupt-X (satu lagi syarikat pemula niaga fintech di Dubai), yang mana kedua-dua MOBE tersebut bertujuan membina bandar pintar yang mampan.

MoA antara TWL Holdings Berhad dan Tatra Investment LLC melibatkan perancangan kedua-dua syarikat untuk membentuk kerjasama strategik dalam sektor penjagaan kesihatan bagi memperoleh, mengimport, membekal dan mengedar produk farmaseutikal perubatan di Malaysia dan Asia Tenggara.

Selain itu, LOI dimeterai oleh Pure Harvest dari UAE dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara Malaysia (NCIA) bagi mendapatkan bantuan kemudahan pelaburan di Malaysia menerusi Zon Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Pemeteraian MoU terbabit turut disaksikan oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba serta Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

12

Share and Enjoy !

Shares
Previous post Gempa kuat melanda Kepulauan Loyalty
Next post Turkiye’s Hagia Sophia Grand Mosque to hold first tarawih prayer in 88 years