PM jumpa semua ketua parti Perikatan Nasional di Putrajaya, petang ini

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

PUTRAJAYA 11 Ogos – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dijangka mengadakan pertemuan dengan semua ketua parti dalam Perikatan Nasional (PN) petang ini, lapor BH Online.

Perjumpaan khas itu dijadualkan berlangsung di Pejabat Perdana Menteri kira-kira jam 5 petang ini dan dipercayai ada kaitan dengan perkembangan politik semasa tanah air.

Pagi tadi, Perdana Menteri dilaporkan mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, sebelum mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet.

Pada petang Rabu minggu lalu, Muhyiddin mengumumkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri masih utuh dengan mempunyai sokongan majoriti dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat.

Muhyiddin dilaporkan turut menyembah maklum perkara itu kepada Al-Sultan Abdullah, ketika sesi menghadap Seri Paduka di Istana Negara pada sebelah pagi sebelum mempengerusikan mesyuarat Kabinet.

Ia susulan warkah daripada Yang di-Pertuan Agong memaklumkan lapan Ahli Parlimen daripada UMNO ada menulis surat kepada baginda bahawa mereka menarik sokongan kepada Muhyiddin.

Walaupun UMNO membuat keputusan menarik sokongan kepada kepemimpinan Muhyiddin dan PN, tetapi 31 Ahli Parlimennya diketuai Timbalan Perdana, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan mengekalkan sokongan kepada PN sehingga usul keabsahan dibentang di Parlimen, bulan depan.

Selain Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PN turut dianggotai PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

MCA dan MIC menyertai gabungan itu menerusi Barisan Nasional (BN) dijangka turut menghadiri perjumpaan pada petang ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1549
Kongsi :
Previous post Azhar Azizan nafi keluar surat kepada PM, maklum hilang majoriti
Next post Anggota polis maut terbabas di Jempol
Ubah saiz-+=