Sorting by

×

PM seru rakyat dalami tema Malaysia Prihatin

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KUALA LUMPUR 31 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyeru rakyat mendalami tema sambutan Hari Kebangsaan 2021 iaitu Malaysia Prihatin serta memupuk sifat keprihatinan dalam diri.

Beliau menerusi catatan di Facebook rasminya berkata prihatin adalah satu sifat yang perlu ada dalam diri setiap masyarakat di negara ini.

“Bila kita prihatin, kita empati dengan kesusahan orang lain. Bila kita prihatin, kita jaga keselamatan dan kesihatan komuniti kita. Bila kita prihatin, kita bersatu hati memerangi musuh negara.

“Kerana itu, saya menyeru agar kita dalami tema ini dan pupuk sifat prihatin dalam diri kita. Saya pasti, dengan keprihatinan kita, Malaysia pasti dapat memutuskan rantaian COVID-19 dan terus kekal aman makmur,” katanya.

Dalam pada itu, perdana menteri turut mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan 2021 kepada seluruh masyarakat.

Sambutan Hari Kebangsaan 2021 hari ini berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya dalam persekitaran norma baharu ekoran pandemik COVID-19.

Bertemakan Malaysia Prihatin, atur cara dan persembahan yang sarat dengan elemen patriotisme disusun rapi agar bersesuaian dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta boleh ditonton secara fizikal oleh hadirin yang terhad atau diikuti secara langsung melalui kaca televisyen atau secara maya.

Bagaimanapun, Ismail Sabri menyertai sambutan tersebut secara maya kerana menjalani kuarantin kendiri bermula semalam (30 Ogos) setelah disahkan kontak rapat pesakit COVID-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1258
Kongsi :
Previous post Warga emas selesai kuarantin COVID-19 maut ambulans terbabas
Next post Semangat merdeka anak-anak cilik
Ubah saiz-+=