Semangat merdeka anak-anak cilik

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

BANDAR MELAKA 31 Ogos – “Budak-budak ‘nijam’ (sekarang) cukup susah nak ada semangat patriotisme, itu sebab Makcik terapkan nilai-nilai itu dalam diri cucu-cucu makcik.’

Itu kata Aminah Abu Bakar, 70 yang tidak pernah gagal membuat pakaian khas untuk lima cucu perempuannya, Muazarah Aisyah Mohd Saiful, 4, Maryam Azzahra, 6, Sri Fathyraa Fadzrul, 5, Kyraa Lea, 7, dan Nur Nasyaa, 8 setiap tahun.

Semua pakaian bagi sambutan merdeka dijahit oleh Aminah sendiri daripada kain corak bendera Malaysia supaya semangat cintakan negara tidak pudar dalam hati mereka apabila mereka besar kelak.

Dia berkata, setiap tahun dia akan membawa semua cucu perempuannya berusia antara empat hingga lapan tahun menaiki kereta tolak ke Jalan Hang Tuah bagi menyaksikan perarakan sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri.

Katanya, sejak COVID-19 melanda negara dan tiada sambutan besar-besaran dibuat sejak dua tahun lalu, dia terpaksa menonton dari kaca televisyen secara langsung sambil memakaikan cucu-cucunya pakaian bendera Malaysia yang dijahitnya sendiri.

“Anak-anak makcik dua-dua lelaki, Mohd Saiful Mustafa dan Fadzrul, tetapi kedua-duanya dah besar panjang dan tidak minat hendak bersusah-payah serta beria pasang bendera.

“Kalau cucu-cucu makcik, semangat mereka lebih membara kerana sejak kecil mereka teruja hendak sambut merdeka lebih-lebih lagi apabila dipakaikan baju yang dibuat daripada bendera,” ketika ditemui di kediamannya di Kampung Morten, hari ini.

MASITAH Atiqah Mustaffa, 33, bersama suaminya Mohd Saiful Mustafa, 34, menonton siaran langsung sambutan Hari Kebangsaan yang ke-64 di Putrajaya yang bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ di Kampung Morten, Melaka. Foto: MR. AZLI

Menurut Aminah, dia memaklumkan kepada dua anak lelakinya supaya pulang ke rumah untuk menonton siaran langsung sambutan merdeka di kaca televisyen bersama-sama.

“Semalam, makcik telefon mak ayah mereka suruh datang pagi-pagi, tak tidur malam dibuatnya, minta mak ayah suruh cepat hendak pergi rumah nenek.

“Cucu makcik bila kata hendak pasang bendera, pakai baju bendera sambil tengok tv (televisyen) secara live, mereka gembira sangat,” katanya.

Sementara itu, ibu Muazarah dan Maryam, Masitah Atiqah Mustaffa, 33 berkata, tiap-tiap tahun ibu mertuanya menjahitkan pakaian buat dua anak perempuannya dan tiga lagi anak saudaranya.

“Pagi-pagi lagi sudah siap pakaikan baju kebaya dibuat daripada bendera Malaysia, kalau tahun-tahun sebelum ini baju gaun.

“Kalau dulu ibu bawa mereka berlima untuk tengok perarakan tetapi tahun lepas dan tahun ini terpaksa tengok menerusi kaca televisyen tetapi semangat itu masih ada kerana mereka dipakaikan baju bertemakan semangat patriotisme,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1047
Kongsi :
Previous post PM seru rakyat dalami tema Malaysia Prihatin
Next post Sambutan Hari Kebangsaan 2021 hebat dan berjaya – Annuar
Ubah saiz-+=