Sambutan Hari Kebangsaan 2021 hebat dan berjaya – Annuar

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

PUTRAJAYA 31 Ogos – “Persembahan hari ini adalah hebat,” demikian pujian Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa terhadap sambutan Hari Kebangsaan 2021 yang diadakan di Dataran Pahlawan Negara di sini hari ini.

Beliau menyifatkan kejayaan acara sambutan hari penting dalam kalendar negara itu adalah hasil kerjasama berpasukan pelbagai pihak yang dipertanggungjawabkan khususnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang bertindak sebagai Jawatankuasa Kerja Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021.

“Alhamdulillah sambutan Hari Kebangsaan 2021 selamat berlangsung dengan jayanya. Seluruh program yang dirancang dapat disempurnakan dengan baik.

“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada seluruh AJK (ahli jawatankuasa) yang terlibat termasuk peserta dari pasukan badan beruniform,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Kebangsaan 2021 berlangsung.

Sambutan Hari Kebangsaan 2021 bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ disambut dalam persekitaran norma baharu ekoran pandemik COVID-19 buat tahun kedua dengan kehadiran fizikal terhad.

Selain tetamu kehormat yang hadir secara fizikal, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isterinya Datin Muhaini Zainal Abidin menyertai sambutan tersebut secara maya kerana menjalani kuarantin kendiri bermula semalam (30 Ogos) setelah disahkan kontak rapat pesakit COVID-19.

Annuar turut menyifatkan sambutan Hari Kebangsaan 2021 sebagai penyuntik semangat kepada rakyat Malaysia untuk keluar daripada krisis pandemik COVID-19 berlandaskan pendekatan ‘Keluarga Malaysia’.

“Kami (kerajaan) mahu membina harapan baharu dalam diri masyarakat agar mereka terus bergerak ke hadapan dan bangkit daripada cengkaman pandemik COVID-19.

“Kami tahu rakyat sekian lama kemurungan akibat kehilangan pekerjaan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kami harap Hari Kebangsaan kali ini dapat membawa sinar untuk keluar daripada krisis pandemik ini,” katanya.

Annuar yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam memuji persembahan anggota badan beruniform yang memberikan aksi terbaik dalam semangat berpasukan dan berjiwa patriotisme.

Ditanya mengenai tayangan klip video Keluarga Malaysia yang menampilkan lirik ciptaan beliau, Annuar berkata beliau tidak menyangka hasil nukilannya akan ditayangkan kepada umum hari ini.

Lagu patriotik tersebut dinyanyikan gabungan artis tempatan iaitu Ara Johari, Masya Masyitah, Putra Muhammad dan Sufi Rashid.

Annuar berkata idea penulisan lirik tersebut hadir ketika beliau mendengar ucapan sulung Ismail Sabri selepas dilantik sebagai Perdana Menteri baru-baru ini.

“Saya cuba menghayati setiap ungkapan perkataan daripada ucapan PM (Perdana Menteri). Secara spontan terhasil lirik lagu tersebut. Bagi melengkapkan ia menjadi sebuah lagu patriotik, saya ada dapatkan pandangan daripada mereka yang terlibat dalam industri muzik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

550
Kongsi :
Previous post Semangat merdeka anak-anak cilik
Next post Sindiran tidak lunturkan semangat
Ubah saiz-+=