PM ucap takziah kepada keluarga Lans Koperal Mohamad Azrin

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

KUALA LUMPUR 1 Sept – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa yang mayatnya ditemukan hari ini selepas Allahyarham dilaporkan hilang ketika menjalani latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang, di Bera, Ahad lalu.

Beliau berkata Mohamad Azrin yang merupakan anggota tinjau daripada pasukan Kompeni PANDURA (Para) adalah seorang wira yang telah menyertai latihan eksesais Para Predator, di Sungai Pahang pada 29 Ogos lalu.

“Satu berita yang menyedihkan kita terima hari ini… Takziah daripada saya kepada keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama kalangan roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya dalam catatan di Facebook beliau.

Mohamad Azrin dipercayai lemas dan hilang ketika menjalani latihan Eksesais PARA Predator Siri 1/2021 pada 4.40 petang, Ahad lalu.

Semasa kejadian, Allahyarham sedang melaksanakan Fasa Latihan Taktikal Menyeberangi Sungai di sekitar kawasan Kampung Batu Bor.

Mayat Allahyarham ditemukan oleh penduduk kampung di kawasan Kampung Serengkam, Maran, kira-kira 70 kilometer dari lokasi kejadian pada pukul 8.15 pagi tadi.

Kehilangan Mohamad Azrin turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila baginda berkenan mencemar duli menaiki bot menyertai operasi mencari dan menyelamat meskipun dalam keadaan hujan semalam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

878
Kongsi :
Previous post DUN P.Pinang lulus RUU umur 18 tahun jadi calon ADUN
Next post Kerajaan tidak cadang longgarkan arahan pemakaian pelitup muka
Ubah saiz-+=