PN lancar bantuan Food Bank Prihatin Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 22 Jan. – Perikatan Nasional (PN) Negeri Melaka hari ini melancarkan program bantuan Food Bank Prihatin Melaka sebagai antara inisiatif untuk membantu golongan terkesan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Pengerusi PN Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, program itu antara lain bertujuan untuk meringankan beban rakyat negeri ini yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan sepanjang tempoh penularan pandemik COVID-19.

Buat permulaan, jelasnya, sebanyak 1,000 kit makanan bernilai RM50,000 dalam bentuk bekalan makanan akan diagihkan di enam kawasan Parlimen di Melaka.

“Kita juga mengalu-alukan mana-mana pihak tidak kira swasta mahupun orang ramai yang ingin menyumbang bekalan makanan asas untuk program ini dan mereka bolehlah menghubungi mana-mana pimpinan PN Melaka.

“Bagi mereka yang ingin memohon bantuan Food Bank Melaka Prihatin, mekanisme permohonan itu akan diuar-uarkan di laman Facebook rasmi PN Negeri Melaka.

“Proses kelulusan permohonan akan dijalankan secara berperingkat berdasarkan kemampuan dan jumlah sumbangan yang kita terima,” katanya pada sidang media di Hotel MiTC, hari ini.

Mohd Rafiq menegaskan program bantuan tersebut bukanlah bermaksud untuk mendahului kerajaan negeri, sebaliknya ia salah satu usaha parti bagi membela dan memperkasa nasib rakyat.

“Kita bukan mahu mengambil alih peranan kerajaan baik di peringkat nasional mahupun pusat, tetapi niat kita hanyalah untuk menjaga kebajikan rakyat,” ujarnya.

Dalam majlis sama, Mohd Rafiq turut mengumumkan jawatankuasa penuh PN Melaka yang sebulat suara melantik Pesuruhjaya Pas Melaka Datuk Kamarudin Sidek dan Dr Mohd Yadzil Yaakub sebagai Naib Pengerusi PN Melaka.

Jawatan Setiausaha dan Bendahari pula masing-masing disandang Zamzuri Arifin dan Mohd Azrudin Md Idris, manakala Azalina Abdul Rahman sebagai Ketua Wanita dan Ahmad Bilal Rahudin sebagai Ketua Pemuda PN. Melaka).

Turut mendapat tempat ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin; Pengerusi Jawatankuasa di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal & Vokasional Sains dan Inovasi) Negeri Datuk Noor Effandi Ahmad yang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa PN Melaka.

Views:

484
Kongsi :
Previous post Melaka komited jayakan penubuhan AKSM
Next post Peluang kerja, keselamatan dan kebajikan pekerja perlu seiring-Ismail
Ubah saiz-+=