PN Melaka sedia tunai permintaan PAS

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

PAYA RUMPUT 9 Jan. – Perikatan Nasional (PN) Melaka sedia mempertimbangkan kehendak setiap rakan gabungan di dalamnya bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) PN Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, perkara itu termasuklah mengambil serius permintaan PAS Melaka yang meminta untuk bertanding di sekurang-kurangnya tiga kerusi seperti yang disuarakan Pesuruhjaya Pas Negeri Datuk Kamarudin Sidek baru-baru ini.

Hal ini, ujarnya, sangat penting dalam meneruskan keharmonian dan kesepakatan di antara rakan komponen dalam PN bagi mempertaruhkan mandat rakyat dalam PRU-15 nanti.

“Kita akan berbincang soal kerusi dalam rundingan tertutup yang mana sudah tentu kita akan mengambil secara serius permintaan PAS yang mahu diberi ruang bertanding dalam tiga kerusi termasuk kerusi Parlimen.

“PN Melaka akan memperhalusi dan cuba sedaya upaya memenuhi keperluan atau permintaan daripada rakan-rakan komponen,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Bantuan Persekolahan Rendah peringkat DUN Paya Rumput, hari ini.

Terdahulu, PAS Melaka meminta agar diberikan tiga kerusi pada PRU-15 akan datang, termasuklah satu kerusi Parlimen, selain turut diharap diberikan kerusi boleh menang di Melaka memandangkan parti itu dilihat memainkan peranan besar sebagai ‘king maker’ negeri.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kerusi yang akan diperuntukkan kepada Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), Mohd Rafiq yang juga Naib Presiden BERSATU berkata, buat masa ini belum ada perbincangan dibuat memandangkan pihaknya yakin PRU-15 tidak akan diadakan dalam masa terdekat.

“Kita tidak tumpu pada sebarang rundingan kerusi, sebaliknya kita perlu tumpu kepada masalah rakyat.

“Dengan situasi COVID-19 yang kian meruncing, ini bukan masa untuk kita mendesak diadakan PRU. Kita perlu meletakkan soal kesihatan dan keselamatan rakyat mengatasi kepentingan peribadi dan parti-parti politik,” ujarnya.

Views:

290
Kongsi :
Previous post Status pembukaan sekolah diketahui minggu depan
Next post Melaka hantar sukarelawan bantu mangsa banjir di Johor
Ubah saiz-+=