Melaka hantar sukarelawan bantu mangsa banjir di Johor

Masa Membaca:59 Saat

PAYA RUMPUT 9 Jan. – Melaka akan menggerakkan sukarelawan dalam usaha membantu mangsa banjir di beberapa daerah di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, menerusi kerjasama Melaka Youth Development Corpration (MYDC), sukarelawan ini akan digerakkan bermula Isnin depan dengan misi utama membantu membersihkan kawasan-kawasan terjejas.

Misi itu jelasnya, akan melibatkan kira-kira 15 kenderaan pacuan empat roda dengan kekuatan seramai 70 sukarelawan untuk menyampaikan sumbangan sebanyak RM25,000.

“Kita melihat bantuan tenaga kerja amat diperlukan untuk melakukan pembersihan pasca banjir di rumah-rumah mangsa yang terjejas di samping menghulurkan sumbangan keperluan asas.

“Kita akan menumpukan kawasan kritikal seperti daerah Johor Bahru, Mersing, Kota Tinggi dan Kluang seterusnya ke negeri lain yang turut terkesan dilanda bencana itu,” katanya selepas majlis penyampaian bantuan persekolahan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di Krubong Jaya, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Mohd Rafiq telah menyampaikan bantuan persekolahan berupa pakaian, kasut dan beg sekolah kepada 146 orang murid sekolah rendah yang datangnya dari keluarga B40.

Ujarnya, bantuan kelengkapan persekolahan dengan peruntukkan keseluruhan RM22,000 itu merupakan inisiatif kerajaan negeri menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) dalam usaha meringankan beban rakyat negeri ini.

Views:

584
Kongsi :
Previous post PN Melaka sedia tunai permintaan PAS
Next post PRU-15: Perlu ambil kira situasi semasa – Ab. Rauf
Ubah saiz-+=