‘Poghut’ Ayer Limau jadikan masjid medan penyatuan

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER LIMAU 2 April – Penganjuran Majlis Khatam Al-Quran Perdana Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau berupaya menjadi medan dalam mengukuhkan tali persaudaraan.

Perkara diungkapkan penduduk Ayer Limau yang juga peserta program berkenaan yang menyifatkan program tersebut bukan sahaja menyatukan umat Islam, bahkan meningkatkan rasa cinta kepada al-Quran dan masjid.

Seorang jemaah, Saadiah Zakaria, 56, berkata, program berkenaan amat baik dan perlu diteruskan pada masa akan datang bagi meningkatkan rasa cinta terhadap kalam suci Allah SWT.

“Program ini juga menggalakkan masyarakat dalam mencintai masjid. Alhamdulillah bila nampak dari setahun ke setahun acara seperti ini terus menerima sambutan dan meriah.

“Lagi seronok bila satu DUN dapat berkumpul dalam satu masjid, kita harap program seperti ini diteruskan pada masa akan datang sebab besar nilainya buat umat Islam dalam mengejar keberkatan di bulan Ramadan.

“Malah, dari sinilah kita dapat mengenali sesama kita yang merupakan satu saudara besar di DUN ini, selain dapat mengenali siapa pengurusan masjid dan surau di setiap kampung kita dapat kenal siapa ‘poghut’ (perut) kita sendiri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Program tersebut telah disempurnakan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Fatimah Abdullah, 70, berkata meskipun kini bergantung kepada kerusi roda, namun semangatnya untuk menghabiskan bacaan al-Quran tahun ini tetap diteruskan.

“Saya minat sebab apabila datang ke sini saya dapat bertemu dengan rakan-rakan baharu, rasa sangat tenang apabila dapat membaca al-Quran bersama.

“Saya berharap program ini akan diteruskan pada masa akan datang terutama dengan penyertaan lebih ramai anak muda,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

69
Kongsi :
Previous post Kompleks tahfiz terbesar Asia Tenggara di Masjid Tanah
Next post Fahmi ingatkan penjawat awam, penerima STR tidak terpedaya penipuan dalam talian
Ubah saiz-+=