Kompleks tahfiz terbesar Asia Tenggara di Masjid Tanah

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

TANJUNG BIDARA 2 April – Melaka berpotensi menjadi negeri peneraju bagi institusi tahfiz dan pembangunan mualaf apabila Kompleks Tahfiz Dakwah Mualaf terbesar di Asia Tenggara kini sedang dalam perancangan siap kelak.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, cadangan pembinaan kompleks tahfiz berkenaan di sebuah tapak dalam kawasan Parlimen Masjid Tanah adalah hasil inisiatif Pertubuhan Akademi Al Bayan.

Katanya, pembinaan kompleks tahfiz itu dijangka membabitkan kos keseluruhan RM25 juta dan setakat ini sebanyak RM11 juta berjaya dikumpul hasil sumbangan pelbagai pihak.

“Insya-Allah Kompleks Tahfiz Dakwah Mualaf itu nanti akan menjadi sebuah pusat rujukan agama Islam bagi peringkat antarabangsa pada masa akan datang. Setakat ini negara lain seperti Indonesia, Singapura dan Brunei bersetuju menjadikan institusi itu sebagai sebuah pusat tahfiz bagi rantau ini.

“Kerajaan Negeri menyokong penuh cadangan ini, sekali gus meningkatkan perkembangan dan kualiti pendidikan Islam di Melaka. Saya mengalu-alukan supaya semua rakyat Melaka bersama-sama menyalurkan sumbangan bagi tujuan pembinaan kompleks tahfiz ini dalam usaha kita memperkasakan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Berbuka Puasa YAB Ketua Menteri Melaka Bersama Pemimpin Masyarakat Parlimen Masjid Tanah di Villa D’Acqua, di sini, semalam.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Ketua Menteri Ke-12 merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah; Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau merangkap Naib Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Yang turut hadir, Adun Taboh Naning merangkap Ketua Penerangan UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Adun Kuala Linggi merangkap Bendahari UMNO Bahagian Masjid Tanah, Rosli Abdulah; Pengerusi Pertubuhan Akademi Al Bayan, Datuk Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan serta tetamu lain.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3185
Kongsi :
Previous post Berbusana ‘opah’ masak juadah tradisional
Next post ‘Poghut’ Ayer Limau jadikan masjid medan penyatuan
Ubah saiz-+=