Berbusana ‘opah’ masak juadah tradisional

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

SUNGAI RAMBAI 1 April – Pelbagai gelagat dapat dilihat pada penganjuran Festival Kuih Tradisional Aidilfitri dan Pelita Raya Melaka di Dataran Riverside Sungai Rambai, di sini, malam tadi, yang dimeriahkan dengan kehadiran lebih 3,000 pengunjung.

Paling mencuri tumpuan adalah suasana riuh-rendah peserta terlibat pada pertandingan memasak kuih tradisional bersempena festival berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Siti Faizah Abd Azis berkata, pertandingan itu membabitkan penyediaan lima jenis kuih tradisional iaitu dodol, kuih karas, baulu, rempeyek dan kuih bakar.

Menurutnya, pertandingan itu mendapat sambutan cukup menggalakkan apabila disertai 20 kumpulan memasak kuih tradisional dan 19 lagi terlibat dalam acara memasak dodol.

“Kesemua peserta ini bukan sahaja dalam kalangan penduduk kampung dalam daerah Jasin, bahkan turut membabitkan agensi dan jabatan Kerajaan Negeri serta Persekutuan.

“Uniknya, peserta-peserta terlibat turun menyahut galakan memakai busana lama dalam menyediakan juadah-juadah ini.

“Alhamdulillah objektif kita untuk menyatukan masyarakat menerusi program ini tercapai dan pada masa sama, penganjuran ini juga dapat memastikan juadah tradisi masyarakat Melayu terus diwarisi kerana selain mereka yang sudah berumur, setiap kumpulan turut dibarisi peserta muda,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata demikian kepada pemberita pada majlis penutup festival berkenaan yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Menurut Siti Faizah, selain pertandingan kuih tradisional, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai turut diterangi cahaya pelita menerusi Pertandingan Pelita Raya 2024 yang disertai 10 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) DUN Sungai Rambai berserta agensi dan jabatan kerajaan.

Menurutnya, hiasan pelita itu dipasang mengikut kreativiti di sepanjang jalan di Sungai Rambai bermula di Batu Gajah sehinggalah ke sempadan Johor.

Gelaran johan telah dirangkul Kampung Sungai Rambai Timur yang membawa pulang hadiah kemenangan RM3,000 disampaikan Ab Rauf dan Siti Faizah.

“Kita akan cuba memastikan penganjuran program seperti ini diteruskan pada tahun-tahun mendatang dalam usaha terus menyuburkan perpaduan dalam kalangan rakyat dan komuniti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

541
Kongsi :
Previous post 21 individu dakwa ditipu pakej umrah
Next post Kompleks tahfiz terbesar Asia Tenggara di Masjid Tanah
Ubah saiz-+=