Polis berpakaian awam pantau sambutan Ambang 2021 malam ini- KP

0
2592
KETUA Polis Melaka Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali. Foto fail.

MELAKA 31 Dis. – Seramai 150 pegawai dan anggota polis berpakaian awam digerakkan bagi memantau kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 menjelang sambutan Ambang 2021 malam ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, jumlah itu adalah daripada lapan pasukan yang akan menumpukan beberapa kawasan tumpuan orang ramai termasuk kedai makan untuk menyambut acara tahunan itu.

“Semua mereka yang berpakaian awam akan memantau di lokasi tumpuan termasuk kedai makan sebelum terus mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada mereka yang didapati tidak mematuhi SOP.

“Saya menasihati orang ramai agar terus mematuhi langkah pencegahan ditetapkan kerajaan dan terus mengamalkan gaya hidup norma baharu,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini di sini hari ini.

Ditanya adakah pihaknya menerima sebarang permohonan daripada mana-mana penganjur untuk meraikan sambutan tahun baharu malam ini, beliau berkata tidak menerimanya setakat ini.

“Setakat ini, tiada sebarang permohonan seperti itu (sambutan Ambang 2021) diterima,” katanya.

Isnin lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sambutan tahun baharu 2021 secara perhimpunan adalah tidak dibenarkan.

Menurut beliau, sambutan yang biasanya diadakan secara besar-besaran itu boleh mewujudkan risiko penyebaran COVID-19 jika ia dianjurkan di mana-mana lokasi di negara ini.