Polis Kelantan tumpaskan sindiket curi elektrik lombong bitcoin

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

GUA MUSANG 8 MAC. – Polis Kelantan menumpaskan sindiket curi elektrik untuk menjalankan kegiatan melombong bitcoin membabitkan enam premis di sekitar bandar ini, dalam operasi yang bermula 3 dan 4 Mac lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, dalam operasi itu pihaknya telah merampas 363 unit mesin yang digunakan untuk kegiatan melombong bitcoin, dianggarkan bernilai RM500,000.

Beliau berkata operasi yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Komersil Bukit Aman, JSJ Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), juga menahan tiga lelaki disyaki terlibat secara langsung dalam sindiket berkenaan, yang pertama kali berlaku di Kelantan.

“Kesemua suspek berumur antara 20 hingga 29 tahun itu ditahan reman hingga esok, bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang di sini, hari ini.

Shafien turut berkata TNB kerugian RM2.5 juta setahun akibat kecurian elektrik itu dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 379 serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan, kerana memotong sambungan dawai elektrik.

Mengulas lanjut, beliau berkata sindiket berkenaan antaranya menggunakan bangunan kosong di tingkat satu serta bangunan yang masih belum ada sambungan elektrik, bagi mengelakkan operasi mereka dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata malah sindiket itu turut dipercayai mempunyai rangkaian di tempat lain dalam negara ini, justeru, pihak polis terus menjalankan intipan bukan sahaja di sekitar bandar ini tetapi di luar Kelantan.

“Sindiket yang melakukan kegiatan itu mempunyai banyak kepakaran dan berhubung rapat dengan sindiket sama di tempat lain,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

308
Kongsi :
Previous post Denda RM80,000 kerana gagal lapor pemberian rasuah
Next post Kerangka 4K jadi tumpuan dalam memperkasa wanita- Rina
Ubah saiz-+=