Polis Melaka edar 900 bakul makanan

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

PULAU SEBANG 7 Julai – Polis Melaka akan mengedarkan 900 bakul makanan secara berperingkat di tiga daerah menerusi Program Kembara Prihatin Op Bantu.

Program dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Skuad Aman Wanita (AMANITA) serta dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) itu dilancarkan serentak di seluruh negara hari ini.

Ia adalah hasil kerjasama strategik antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat korporat.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) negeri, Asisten Komisioner Mohd Hedzir Hussin berkata, buat permulaan hari ini 30 bakul makanan masing-masing diedarkan di Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah menerusi ketua polis daerah.

“Hari ini sebanyak 60 bakul makanan disampaikan kepada individu yang memerlukan di ketiga-tiga daerah dan selebihnya akan diserahkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) masing-masing dalam masa yang akan diatur gerakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bantuan bakul makanan di Kampung Kuala Aina, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu.

Mengulas lanjut beliau berkata, program berkenaan adalah inisiatif kementerian dan agensi terlibat terhadap isu dan situasi dihadapi masyarakat supaya rakyat tidak terputus bekalan makanan serta keperluan asas akibat pandemik COVID-19.

“Bagi mendapatkan senarai penerima, kita berhubung dengan JKM untuk mendapatkan senarai mereka yang terkesan supaya tidak berlaku pertindihan dengan bantuan lain sama ada dari mana-mana jabatan atau NGO lain.

“Selain bakul makanan yang disalurkan oleh KDN, kita turut menerima bantuan makanan daripada kerajaan negeri untuk diserahkan kepada IPD bagi menyalurkan bantuan ketika membuat rondaan atau pemeriksaan di sesuatu kawasan,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

811
Kongsi :
Previous post Pengalaman luas Ismail Sabri dalam pentadbiran Muhyiddin kekuatan dilantik TPM
Next post Bersyukur bantuan makanan di kala ‘sempit’
Ubah saiz-+=