Polis Melaka keluar lapan ‘kompaun raya’ bernilai RM12,000

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 14 Mei – Polis Melaka mengeluarkan sebanyak lapan kompaun bernilai RM12,000 di atas pelbagai kesalahan sepanjang hari pertama Hari Raya Aidilfitri semalam.

Pegawai Turus Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Deputi Superintendan Nik Ab Halim Nikmat berkata, daripada jumlah itu, enam kompaun dikeluarkan di daerah Melaka Tengah dan dua di Jasin masing-masing RM1,500 setiap kompaun.

Ujarnya, antara kesalahan yang direkodkan termasuklah keluar rumah tanpa alasan munasabah untuk beraya dan tiada penjarakan fizikal.

Pegawai Turus Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Melaka, Deputi Superintendan Nik Ab. Halim Nik Mat

“Setakat semalam, kita telah memeriksa sebanyak 1,021 buah rumah membabitkan 471 di daerah Melaka Tengah, 322 di Alor Gajah dan 238 di Jasin.

“Selain itu, pemeriksaan turut dilakukan di 56 tanah perkuburan seluruh Melaka.

“Kita juga akan terus melakukan pemeriksaan dan rondaan secara lebih kerap di kampung-kampung, taman perumahan serta tanah perkuburan di seluruh negeri bagi memastikan rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

POLIS Melaka melakukan sekatan jalan raya (SJR) Jalan Gapam, iaitu sempadan daerah Melaka Tengah dan Jasin bagi memastikan tiada cubaan rentas daerah dilakukan.

Dalam pada itu, Nik Ab Halim turut menasihati orang ramai agar tidak cuba-cuba merentas daerah bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga atau sahabat-handai.

Tegasnya, pihak polis akan menyemak segala dokumen termasuk bil api dan air sekiranya didapati ada dalam kalangan mereka yang berada di daerah lain.

“Kita juga akan terus memperkasakan sekatan jalan raya (SJR) di sempadan setiap daerah bagi memastikan tiada cubaan rentas dilakukan untuk menyambut raya,” katanya lagi.

Pada Isnin, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) berkuat kuasa 12 Mei hingga 7 Jun depan berikutan kes COVID-19 yang semakin meningkat, selain kewujudan varian-varian baharu dengan kadar jangkitan yang lebih tinggi.

Susulan pengumuman itu, segala aktiviti ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah tidak dibenarkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

560
Kongsi :
Previous post Ketua Pengarang Malay Mail meninggal dunia
Next post Tangan hancur, gegendang telinga pecah akibat mercun buatan sendiri
Ubah saiz-+=