(Kemas kini) Polis mungkin tambah anggota untuk PRN Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KESIDANG 18 Okt. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mungkin menambah anggota sekiranya perlu untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Beliau berkata, setakat ini Polis Melaka menetapkan 280 pegawai dan anggota dari pasukan pemantau prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negeri (PPN) termasuk memantau pilihan raya itu.

Bagaimanapun katanya, sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRN diadakan, pihaknya akan menggerakkan pasukan bantuan dari luar Melaka bagi membantu kontinjen negeri menghadapi pilihan raya berkenaan.

Mazlan (tengah) menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada asnaf dan pesara polis disaksikan Abdul Majid (kiri) di Balai Polis Malim, di sini hari ini.

“Kita akan membantu sepenuhnya dan buat masa ini kita memang bersiap siaga, tidak ada masalah.

“Jika MKN (Majlis Keselamatan Negara) mengeluarkan kenyataan ada SOP tertentu kita akan patuhi untuk melaksanakannya.

“Sekiranya keadaan memerlukan kita akan tambah kalau sebaliknya, sebaliknya…,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada asnaf dan pesara polis di Balai Polis Malim, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali, Timbalannya, Datuk Razali Abu Samah dan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kira-kira jam 12 tengah hari ini.

SPR ketika ini sedang bermesyuarat di sebuah hotel di sini mengenai persiapan PRN tersebut. Ia dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

901
Kongsi :
Previous post Sidang akhbar SPR dijangka 12 tengah hari ini
Next post 88 peratus murid divaksin di Melaka
Ubah saiz-+=