Polis perlu menangi hati masyarakat – KP Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 1 April – “Sebagai Ketua Polis Melaka baharu, saya meletakkan motto ‘win the heart of the people’ sebagai sokongan kepada pucuk kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Itu prinsip diterapkan Ketua Polis Melaka yang baharu Datuk Zainol Samah.

Zainol secara rasmi hari ini menggulas tugas sebagai ketua polis negeri menggantikan Datuk Wira Abdul Majid Ali.

“Saya bawa motto ini di Melaka supaya persepsi negatif terhadap polis itu dapat dikurangkan apabila kita berhadapan dengan masyarakat.

“Pada saya, persepsi ini boleh dineutralkan balik apabila kita memaklumkan semula kepada mereka. Jadi kalau persepsi itu ada, lama-lama ia membentuk kepercayaan, itu yang kita tak mahu.

“Pegawai-pegawai saya dalam penyampaian perkhidmatan mestilah bersifat empati. Empati ini, bagaimana kita nak membantu masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Melaka daripada Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah.

Majlis itu disaksikan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Datuk Aidi Ismail di Auditorium Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Melaka di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan sokongan pengamal media untuk membantunya dalam menyampaikan maklumat dan perkhidmatan kepolisan.

“Terima kasih kepada pucuk pimpinan yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menerajui polis kontinjen Melaka.

“Saya harap sokongan rakan-rakan media untuk membantu saya dalam kita laksanakan ‘service delivery’ (penyampaian perkhidmatan).

“Rakan-rakan media, ‘you are part of’ kami untuk menyampaikan maklumat-maklumat tentang polisi ini kepada masyarakat…saya amat alukan,” katanya.

Untuk rekod Zainol sebelum ini memegang jawatan Timbalan Pengarah Forensik dan Perancangan Strategik Jabatan Siasatan Jenayah, selain pernah berkhidmat di Melaka pada tahun 2003 sehingga 2005 sebagai Timbalan Ketua Siasatan Jenayah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

8700
Kongsi :
Previous post SKMM sasar satu DUN, satu PEDi di seluruh negara
Next post Usahawan capai lebih 50 peratus hasil jualan selepas sertai PEDi
Ubah saiz-+=