Polis sedia hadapi peningkatan kenderaan masuk ke Melaka
BANDA HILIR 14 Januari – Polis Melaka bersedia menghadapi jangkaan peningkatan jumlah kemasukan kenderaan ke negeri ini sepanjang musim cuti perayaan Tahun Baharu Cina.
Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, bagi memastikan kelancaran trafik, pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) tidak dibenarkan bercuti.
“Melaka adalah negeri pelancongan, sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina nanti jumlah kemasukan kenderaan dijangka meningkat.
“Berikutan itu pegawai dan anggota JSPT Melaka akan bertugas 24 untuk memantau aliran keluar dan masuk trafik,” katanya selepas merasmikan Majlis Kempen Cegah Jenayah dan Rumah Selamat Sempena Tahun Baru Cina di Jonker Street, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Razali Abu Samah, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu dan Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman
Turut hadir Pengerusi Jonker Street Datuk Wira Gan Tian Loo dan Lions District Governor Lions Club Zon Tengah, Dorothy Ong.
Zainol berkata, pihaknya juga akan meningkatkan kehadiran dan rondaan di lokasi tumpuan serta persinggahan pelancong sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina.
Menurutnya, Skuad Rondaan Berbasikal Unit Polis Pelancong, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Skuad Taming Sari (STS) dilengkapi motosikal ‘Scrambler’ akan digerakkan bagi tujuan itu.
Selain itu pihaknya turut memasang lapan butang kecemasan (emergency panic button) sekitar Jonker Walk dalam usaha mencegah jenayah di lokasi tumpuan pelancong.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.