Polis serbu pusat hiburan ingkar SOP, 110 pengunjung dikompaun

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

KUALA LUMPUR 18 April. – Seramai 110 pengunjung yang sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Sri Petaling serta seorang penjaga premis dikompaun berikutan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketika serbuan pada 11.10 malam semalam, pengunjung di dalam premis itu sedang leka mendengar muzik yang kuat dengan ada yang menari dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata polis turut merampas beberapa peralatan premis.

“Seramai tiga warga asing pula ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan di bawah Akta Imigresen,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Serbuan oleh sepasukan polis daripada JSJ dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields serta Balai Sri Petaling itu dilakukan berikutan maklumat orang awam bahawa terdapat pusat hiburan beroperasi tanpa mematuhi SOP ditetapkan.

Saiful Annuar berkata tindakan dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan; Seksyen 4 Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Seksyen 25 (a) dan Seksyen 25 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021; dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.4) 2021.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

305
Kongsi :
Previous post Malaysia tidak terjejas keputusan Belgium larang penggunaan minyak sawit
Next post Sebak lihat cucu dapat baju raya percuma
Ubah saiz-+=