Sebak lihat cucu dapat baju raya percuma

Masa Membaca:2 Minit, 28 Saat

KLEBANG 18 April. – Seorang warga emas tidak dapat menahan sebak apabila melihat riak wajah gembira cucunya yang diberi peluang memilih ‘baju raya’ percuma dalam program Butik Rakyat 2.0 bertempat di RUTC Klebang Besar, di sini, hari ini.

Enchom Mat, 64, berkata, walaupun pakaian terpakai namun ia tetap bermakna memandangkan mereka bukan dari keluarga yang senang.

Justeru, dia yang juga menetap di Kampung Pulau Gadong berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan sumbangan pakaian terpakai, khususnya kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar yang menganjurkan program itu.

 

ENCHOM… sebak lihat cucu ceria dapat memilih ‘baju raya’ percuma dalam program Butik Rakyat 2.0 di RUTC Klebang Besar hari ini.

 

“Terima kasih sangat. Nenek tak tahu nak cakap apa. Mungkin untuk orang lain pemberian ini nampak kecil, tetapi ia besar maknanya bagi keluarga kami.

“Cucu-cucu nenek juga sangat gembira apabila dapat baju raya untuk tahun ini. Kami sangat bersyukur dan terima kasih kepada semua pemberi,” katanya.

Nada sama disuarakan Norazlan Ali, 34, yang kini hilang pekerjaan selepas mengalami kemalangan di tempat kerja.

Dia yang terpaksa bertongkat sanggup datang dari Tanjung Kling ke RUTC Klebang, semata-mata untuk mendapatkan pakaian buat isteri dan anaknya.

“Bila nak raya, semua nak pakai duit. Jadi, bila ada bantuan seperti ini ia memang sangat meringankan beban saya dan mereka yang kurang berkemampuan yang lain.

“Macam hari ini, dapatlah saya memilih baju untuk anak, isteri dan untuk saya sendiri. Baju-bajunya juga cantik dan sama sekali tidak lusuh. Sesuai untuk dijadikan baju raya untuk kami juga,” ujarnya.

ORANG ramai memilih pakaian terpakai untuk kanak-kanak.

Bagi Khairul Anuar Md Said, 39, dia berharap program kemasyarakatan itu menjadi ikutan kepada pemimpin dari kampung-kampung lain.

“Saya sangat terharu dengan apa yang dilakukan JPKK dan RUTC Klebang Besar kerana baju-baju yang ada bukan untuk satu golongan sahaja, tetapi untuk segenap lapisan masyarakat.

“Jadi saya berharap usaha dijadikan contoh kepada kampung-kampung lain selepas ini,” katanya.

Sementara itu, penganjur Butik Rakyat 2.0 Datuk Mohd Yusof Abu Hassan yang juga Pengerusi JPKK Klebang Besar berkata, sebanyak 5,000 pakaian sumbangan orang ramai akan diagihkan dalam program sepanjang Ramadan ini bermula 3 petang hingga 11 malam itu.

Katanya, baju sumbangan itu akan disaring terlebih dahulu bagi memilih yang benar-benar elok sebelum dicuci dan diletakkan di dalam plastik sebelum diagihkan kepada orang ramai.

Beliau berkata, program memasuki edisi kedua itu bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan khususnya yang terjejas sepanjang penularan pandemik COVID-19.

“Saya menyeru jika ada pemimpin yang ingin menginfakkan pakaian agar dapat menyalurkan kepada Butik Rakyat 2.0 ini untuk kita salurkan kepada rakyat.

“Jika ada sumbangan daripada wakil rakyat, Exco mahupun ketua menteri atau perdana menteri sendiri, saya bercadang untuk mewujudkan sudut VIP yang mana rakyat terpilih akan menerima sumbangan pakaian terpakai milik orang-orang ternama ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1312
Kongsi :
Previous post Polis serbu pusat hiburan ingkar SOP, 110 pengunjung dikompaun
Next post 10 kes baharu di Melaka berpunca aktiviti rentas negeri
Ubah saiz-+=