Polis siasat pelanggaran SOP majlis dihadiri ahli perniagaan, ahli politik

KUALA LUMPUR, 18 Jan – Polis sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara di sebuah majlis pelancaran produk melibatkan ahli perniagaan dan ahli politik semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata ia susulan satu laporan polis yang dibuat semalam berikutan penularan gambar tetamu di majlis berkenaan yang tidak menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya.

“Pihak polis telah mengenal pasti penganjur majlis berkenaan serta para tetamu yang hadir di majlis itu dan mereka akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin turut mengingatkan penganjur dan syarikat yang mengadakan sebarang majlis untuk memastikan sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan dalam usaha membendung penularan pandemik COVID-19.

Semalam tular di media sosial beberapa gambar ahli perniagaan terkenal dan ahli politik yang tidak menjaga penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka di sebuah majlis pelancaran produk.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

340
Previous post Suri rumah hilang simpanan Tabung Haji ditipu sindiket Macau Scam
Next post Kerajaan jamin bantu Suhakam promosi hak asasi manusia ikut acuan Malaysia